Wednesday, September 29, 2010

Pilihan raya kecil Galas Oktober?

Oleh ZULKIFLI JALIL pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 28 Sept. – Pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober serta Perhimpunan Agung UMNO dari 19 hingga 23 Oktober ini akan diambil kira oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, seperti mana penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai tahun lalu, SPR ketika itu mempertimbangkan kesibukan Pas mengendalikan Muktamar Tahunan parti berkenaan beberapa hari sebelum ia berlangsung.

“Ini untuk memastikan wujud kesaksamaan kepada parti-parti yang bertanding untuk buat persiapan.

“Malah bukan itu sahaja, kita juga mempertimbangkan penetapan suatu tarikh berkenaan agar tidak bertindih dengan acara-acara yang besar seperti Hari Keputeraan sultan atau perayaan lain.

“Jadi, SPR mempunyai masa sehingga 7 Oktober ini untuk menetapkan tarikh hari penamaan calon dan pengundian DUN Galas. Sehingga petang ini, SPR belum menerima surat daripada Speaker DUN Kelantan memaklumkan kekosongan kerusi DUN Galas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kerusi Galas kosong setelah penyandangnya dari Pas, Che Hashim Sulaima, 46, yang menghidap barah paru-paru meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur petang semalam.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

No comments: