Friday, June 18, 2010

SUPP sedia terima Rayong

June 18, 2010, Friday

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sedia menerima Dr Johnical Rayong Ngipa sebagai ahli parti tersebut dan seterusnya menampilkan wakil rakyat Engkilili itu sebagai calon di kawasan yang sama dalam pilihan raya negeri akan datang.

Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata, kriteria penting ada-lah bukan latar belakang calon tetapi kemampuan mereka dalam meraih kepercayaan rakyat sekali gus memenangi pilihan raya.

“Seperti yang saya katakan, sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk memenangi kerusi akan dipilih sebagai calon.

“Sudah tentu (saya menerima Rayong), jika beliau adalah calon yang sesuai.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada (keputusan Majlis Tertinggi) Barisan Nasional,” katanya dalam sidang media di pejabatnya selepas menghadiri mesyuarat kabinet di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemahuan Rayong yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili untuk menjadi ahli SUPP.

Pada pilihan raya negeri 2006, Rayong yang bertan-ding atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mene-waskan calon BN-SUPP Jonathan Krai Pilo.

Rayong kini merupakan wakil rakyat Bebas.

Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kriteria penting baginya ada-lah siapa yang berupaya mendapatkan keyakinan rakyat dan memenangi pilihan raya.

Ditanya adakah bekas-bekas calon yang tewas pada pilihan raya negeri 2006 akan dipertandingkan semula, beliau memberitahu:

“Bergantung kepada akar umbi. Kita mahu calon yang mampu menang. Itu sahaja.”

Beberapa daripada ahli-ahlinya, katanya ada memberi bayangan mereka ingin memberi laluan kepada muka baru dalam pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun keputusan itu, katanya bergantung kepada parti dan akar umbi.

Beliau menjelaskan, parti akan menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus muka ba-ru dalam pilihan raya tersebut.

“Saya telah menjanjikan perubahan dan (oleh itu) akan ada perubahan (pada calon),” katanya.

No comments: