Sunday, May 16, 2010

Premium baru tanah di S’wak


SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud malam tadi mengumumkan kadar premium baru pajakan tanah.

Taib umum kadar pajakan baru 60 tahun dengan ansuran dibayar lima tahun

Menurut beliau, di bawah kategori kediaman, kadar untuk rumah teres ialah RM1,000 seunit, rumah berkembar RM3,000 seunit, rumah sesebuah (detached) RM6,000 seunit.

Manakala bagi kategori komersial di bandar utama ialah RM40,000 seunit, bandar sekunder RM20,000 seunit, luar bandar RM10,000 seunit.

Untuk pajakan tanah kategori pertanian di kawasan bandar, kadar ditetapkan ialah RM5,000 seekar, di pinggir bandar ialah RM2,500 seekar dan tanah desa ialah RM200 seekar.

Pengumuman itu dilakukan oleh beliau pada majlis sambutan perpaduan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sibu di sini, malam tadi.

Menurut Taib, tempoh pajakan ialah 60 tahun dan bayarannya boleh dilakukan secara ansuran lima tahun.

“DAP mengkritik dan meminta kerajaan tidak mengenakan bayaran pajakan atau automatik. Jangan minta kita buat perkara yang mereka tidak lakukan (di Pulau Pinang),” katanya.

Taib berkata, bayaran premium baru itu adalah berdasarkan kadar sama rata berbanding sebelum ini yang dikira menggunakan formula peratusan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam risalah Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya kecil Parlimen Sibu meminta rakyat percaya kepimpinannya adalah untuk semua kaum dan semua warga Malaysia

Katanya BN, akan memimpin Malaysia ke era baru.

Beliau meminta rakyat terutama pengundi di Sibu supaya memilih BN untuk memastikan masa depan yang cerah.

Mandat yang akan diberikan oleh para pengundi akan membangkitkan moral kerajaan dalam membangunkan negara.

“Ini akan memberi galakan lebih untuk kita mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru para pengundi di dalam kawasan Parlimen Sibu agar memilih Robert Lau Hui Yew sebagai wakil rakyat mereka.

No comments: