Wednesday, May 5, 2010

Pas nafi salur peruntukan RM4 juta

KUALA LUMPUR 4 Mei - Selepas seminggu penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendedahkan isu peruntukan RM4 juta, Pas secara rasmi hari ini menafikan penglibatan parti itu dengan dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengadakan sidang akhbar khas bagi menjawab isu itu berkata, pucuk pimpinan juga tidak tahu menahu mengenai kewujudan syarikat perunding media, Global Media Channel Sdn. Bhd (GMC).

"Pas tidak ada kena mengena dengan pendedahan oleh Syed Azidi kerana menjatuhkan individu serta memburukkan pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan agenda Pas. Jika ditanya sama ada orang Pas terlibat, itu saya tidak tahu.

"Mengenai kewujudan GMC, saya dan pucuk pimpinan juga tidak tahu. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak tahu dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun tidak tahu,'' katanya di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Semalam, Syed Azidi menyerahkan beberapa lagi dokumen tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya ekoran pendedahannya menerima peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah.

Syed Azidi sebelum ini telah membuat satu dakwaan mengenai tindakan pihak-pihak tertentu memberikannya peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk memburukkan imej dan melemahkan kepimpinan Abdullah.

Beliau turut mendakwa kerajaan Pas Kelantan menyalurkan sumber kewangan itu untuk melaksanakan gerakan tersusun memburukkan kerajaan Pusat sekali gus memastikan Pas kekal berkuasa di negeri itu.

Menurut Syed Azidi, peruntukan tersebut diberikan bertujuan melaksanakan operasi gerak saraf melalui syarikat GMC yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim, Kelantan bermula Julai 2007.

Mustafa berkata, beliau hanya mengetahui mengenai GMC itu apabila perkara itu didedahkan oleh Syed Azidi di dalam blognya.

"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu GMC. Sudah dedah baru tahu. Saya juga telah membuat pemeriksaan dengan Badan Perhubungan Pas Kelantan dan Pas Pusat mengenai dakwaan RM4 juta ini.

"Saya dapati Pas tidak pernah menyalurkan peruntukan RM4 juta kepada Syed Azidi untuk lakukan kerja-kerja seperti didakwa kerana seperti yang saya katakan tadi Pas tidak melakukan kerja-kerja menjatuhkan pemimpin,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, selama ini Pas menentang Barisan Nasional (BN) serta UMNO atas dasar parti dan bukan pemimpin.

"Tugas Pas adalah menjatuhkan BN dan UMNO tetapi melalui kaedah demokratik (pilihan raya) dan bukannya dengan cara menjatuhkan pemimpin tertentu,'' ujarnya.

Menjawab soalan, Mustafa berkata, Pas menyerahkan kes tersebut kepada SPRM sebelum pihaknya membuat ulasan lebih lanjut kerana segala-galanya bergantung pada hasil siasatan.

Berhubung kemungkinan penulis blog Kickdefella dikenakan tindakan saman, Mustafa berkata, beliau akan mencadangkan kepada Pas Kelantan supaya meneliti kenyataan Syed Azidi yang telah mengaitkan kerajaan negeri dengan penyaluran peruntukan tersebut.

No comments: