Friday, May 28, 2010

‘Kekal atau kurang’

KUALA LUMPUR 27 Mei – Keputusan sama ada mengekal atau mengurangkan subsidi akan ditentukan selepas kerajaan mendapat maklum balas daripada rakyat dan pelbagai pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan amat konsisten untuk bersifat telus dan sentiasa mahu berkongsi dengan rakyat kerana pada akhirnya, segala keputusan akan ditanggung oleh rakyat dan kerajaan sendiri.

“Terserahlah kepada rakyat untuk memikirkan tentang perkara ini. Apakah kita hendak kebaikan pada jangka panjang atau pun kita nak pertahankan status quo yang ada hari ini tetapi mendedahkan negara kepada risiko-risiko tertentu.

“Kerajaan akan membuat ketetapan selepas itu. Kita mahu rakyat tahu segala implikasinya, kalau kita tidak buat ini (kurangkan subsidi) dan buat ini (kekalkan subsidi) apa implikasinya.

“Kita amat telus dalam setiap apa yang ingin dilakukan sebab ini isu besar. Jadi kita hendak kongsi perkara ini bersama-sama dengan rakyat supaya mereka faham bahawa keputusan ini kita kena buat bersama-sama,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Najib mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi kini tidak dimansuhkan.

Menurut Idris, hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, kata Idris, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara agar lebih berdaya saing.

Jelas Najib, kenyataan Idris itu merupakan satu unjuran daripada kajian makmal tersebut tetapi ia tidak semestinya akan dilaksanakan melainkan setelah terlebih dahulu mendapat maklum balas rakyat.

“Proses ini kita sedang buat, iaitu dapatkan maklumat dan pandangan daripada orang ramai.

“Maklumat timbal balas daripada rakyat dan juga pendapat umum daripada golongan yang mewakili pihak tertentu.

“Penjelasan diberikan akan membolehkan kerajaan membuat rumusan terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan rakyat dan masa hadapan negara kita,” katanya.

Add to Google

No comments: