Monday, April 12, 2010

Zaid pilihan PKR jika BN calonkan Palanivel

SHAH ALAM 11 April - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka meletakkan Datuk Zaid Ibrahim (gambar) sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor hanya jika Barisan Nasional (BN) menamakan Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel sebagai calonnya.

Menurut sumber dalaman parti sekalipun Zaid dilihat calon pilihan PKR, parti itu mungkin menukar beliau kepada orang lain pada saat-saat akhir jika BN tidak mencalonkan Palanivel.

PKR menjangkakan pertandingan antara dua calon yang berkaliber sekiranya BN meletakkan Palanivel, kata sumber itu kepada Bernama di sini.

Beliau bagaimanapun tetap melihat Zaid sebagai calon terbaik bagi PKR untuk mempertahankan kerusi itu sekalipun pucuk pimpinan parti mempunyai percaturan lain jika ramalan Zaid dan Palanivel tidak menjadi kenyataan.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong selepas penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, wakil rakyat PKR itu menewaskan Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengesahkan bahawa BN akan meletakkan calon daripada MIC untuk bertanding pada pilihan raya kecil yang akan diadakan 25 April ini.

BN dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April, iaitu dua hari sebelum penamaan calon, dan desas-desus mengatakan Palanivel akan diberi peluang kedua untuk merampas kembali kerusi yang pernah disandangnya sebanyak tiga penggal itu.

Add to Google

No comments: