Tuesday, March 23, 2010

Anwar diberi masa seminggu

KUALA LUMPUR 22 Mac - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi masa seminggu untuk menjelaskan dakwaannya bahawa gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditiru daripada slogan 1Israel.

Ia berikutan tindakan Anwar menuduh pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee memutuskan perkara itu setelah bersetuju permintaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya Anwar diberi tempoh untuk membuat penjelasan kepada Parlimen berhubung isu tersebut.

"Sehubungan itu, sebarang tindakan lanjut selepas ini sama ada Ketua Pembangkang dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atau tidak, ia akan diputuskan selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut memberi penjelasannya," kata Kiandee di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun isu yang pada asalnya di bangkitkan oleh Datuk Abd. Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) sebaik sahaja tamat sesi soal jawab kira-kira pukul 11.30 pagi telah mencetuskan perang mulut.

Keadaan panas itu berlanjutan satu jam 10 minit dan pada satu peringkat membangkitkan kemarahan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas). Ini kerana ketika itu gilirannya untuk membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Abd. Rahman ketika membangkitkan isu itu berkata, berdasarkan muka surat 76 hansard Parlimen bertarikh 17 Mac 2010, Anwar telah menyatakan bahawa pada 2009 syarikat perunding Apco Worldwide memberi nasihat berhubung konsep 1Malaysia kepada Najib.

Menurut Anwar, syarikat yang sama telah memberi nasihat berhubung slogan 1Israel pada 1999 kepada Ehud Barak yang menjadi Perdana Menteri Israel ketika itu.

Abd. Rahman berkata, kenyataan Anwar bercanggah apabila syarikat perunding berkenaan tampil membuat penafian sehari selepas itu termasuk penglibatannya dengan Kerajaan Israel.

"Saya berpendapat bahawa Anwar ternyata mengeluarkan kenyataan sebagai seorang manusia yang tidak sabar menjadi Perdana Menteri hingga sanggup mencemar nama baik Yang di-Pertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Namun, kebenaran yang diberi oleh Kiandee kepada Abdul Rahman mendatangkan rasa tidak puas hati kepada Saifuddin Nasution (PKR- Machang) serta beberapa ahli pembangkang lain seperti Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena).

Saifuddin mempertikaikan kebenaran itu kerana beliau berpendapat ia tidak mengikut aturan mesyuarat.

Kiandee kemudian berkata, kebenaran itu diberikan ialah berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 37(1) yang dibaca bersama 36(12).

Saifuddin mendesak Timbalan Speaker itu membenarkannya berhujah mengguna pakai aturan yang sama berhubung kenyataan yang dikeluarkan Mohamed Nazri pada sidang sebelum ini yang didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Selepas permohonannya dibenarkan, Saifuddin mendakwa Mohamed Nazri mengelirukan Dewan Rakyat dengan memetik undang-undang yang telah dimansuhkan ketika menggulung perbahasan dalam isu royalti minyak kepada Kelantan.

Mohamed Nazri yang diminta menjelaskan perkara itu berkata, beliau sedia disiasat berdasarkan hansard Parlimen.

"Saya anak jantan, tidak ada masalah (senyum)... saya rela disiasat. Apa yang saya jawab tidak berhasrat untuk kelirukan Dewan... saya anak jantan, anak betina di sana tak taulah," katanya.

Ungkapan 'anak betina' yang digunakan beliau terus menghangatkan lagi suasana Dewan Rakyat apabila beberapa anggota Parlimen wanita pembangkang bangun membantah dan mendesak Mohamed Nazri menarik balik perkataan tersebut.

Kiandee kemudian menenangkan suasana dengan menyatakan bahawa anggota Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat jahat dan ungkapan 'betina' yang diguna beliau membawa maksud 'tak berani'.

"Saya buat keputusan tidak ada niat jahat. Masalahnya, perkataan itu sekarang ini disalah guna, diolah begitu rupa oleh Yang Berhormat Ampang, jadi Ahli-ahli Yang Berhormat, jangan salah erti lagi," kata Kiandee.

No comments: