Friday, March 26, 2010

Ahli Parlimen Hulu Selangor meninggal

KAJANG 25 Mac - Ahli Parlimen Hulu Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras di sini malam ini.

Bernama dalam laporan awalnya menyebut, adik Allahyarham, Md. Hambali mengesahkan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd. Zin dan empat orang anak.

Zainal Abidin merupakan bekas Timbalan Menteri Besar Selangor dari 1999 hingga awal 2004 ketika dalam UMNO dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama lapan tahun selain Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Allahyarham kemudian memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor di bawah tiket PKR dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) daripada MIC, Datuk G. Palanivel pada Pilihan Raya Umum 2008.

Beliau hanya memenangi kerusi itu dengan majoriti 198 undi. Zainal mendapat 23,177 undi manakala Palanivel mendapat 22,979 undi.

Antara jawatan Exco kerajaan negeri yang pernah dipegangnya ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan Pengetua Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru (1972-1973) sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.

Beliau memperoleh Doktor Falsafah (PhD) Sains Politik dari University of California, Los Angeles pada 1980 dan pernah menjadi Dekan Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.

No comments: