Thursday, February 25, 2010

Kontraktor Sabah, Sarawak boleh terlibat projek NKRA

PUTRAJAYA 24 Feb. - Kabinet bersetuju mengiktiraf syarikat yang berdaftar dengan Unit Pendaftaran Kontraktor (UPK) di Sabah dan Sarawak bagi membolehkan mereka melaksanakan projek-projek kerajaan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berikutan itu selepas ini lebih banyak kontraktor dari dua negeri berkenaan boleh terlibat dalam projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi kementeriannya.

''Tadi Kabinet bersetuju supaya syarikat-syarikat kontraktor berdaftar di Sabah dan Sarawak diberikan kelonggaran tersebut.

''Ini adalah hasil perbincangan yang dilakukan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Sarawak dua hari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, sebelum ini syarikat-syarikat kontraktor dari kedua-dua negeri itu perlu menggunakan lesen di bawah Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi mendapatkan tender bagi projek-projek kerajaan.

''Sebelum ini tidak ada keistimewaan, mereka kena gunakan PKK, malah sebahagian daripada mereka juga sukar mendapat lesen itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, langkah terbaru itu tidak bermaksud kontraktor di bawah klasifikasi UPK akan diberikan keutamaan mendapatkan projek.

''Mereka masih perlu melalui proses seperti biasa, ia cuma pendekatan baru bagi kontraktor tersebut.

''Ini berita baik untuk mereka yang datang dari Sabah dan Sarawak," katanya.

No comments: