Thursday, January 7, 2010

Rayuan akhir Anwar ditangguh : Bila Lagi Nak Bicara???

PUTRAJAYA 6 Jan. - Mahkamah Persekutuan menangguhkan ke satu tarikh lain rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan semua dokumen penting pendakwaan dan contoh spesimen Mohd. Saiful Bukhari Azlan bagi pembelaan kes liwatnya.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria menetapkan demikian bagi memberi peluang kepada pasukan pembelaan Anwar meneliti rekod rayuan dan menyediakan penghujahan.

Beliau bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Md. Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Terdahulu, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar berhujah, masa yang mencukupi diperlukan bagi menyediakan hujahan kerana rekod rayuan hanya diterima pada 30 Disember lalu.

Beliau menyatakan, selain itu pihaknya belum memfailkan petisyen rayuan dan mempunyai tempoh sehingga 11 Januari ini untuk berbuat demikian.

"Tarikh rayuan hari ini yang dimaklumkan pada 29 Disember lalu ditetapkan secara tergesa-gesa sedangkan petisyen rayuan belum difailkan. Mustahil bagi kami meneruskan rayuan tanpa petisyen," ujar Karpal.

Bagaimanapun, Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden memohon pendengaran rayuan pada tarikh awal kerana isu perundangan yang dibangkitkan melibatkan kepentingan awam dan perbicaraan kes liwat pula akan bermula pada 25 Januari ini.

Karpal pula menyatakan, rayuan itu amat penting dan memberi kesan kepada prosiding mahkamah seluruh negara kerana melibatkan tafsiran terhadap Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

"Hanya kerana perbicaraan akan berjalan pada 25 Januari, tidak bermakna rayuan ini harus dilakukan tergesa-gesa. Kami harus diberi masa mencukupi, sekurang-kurangnya sebulan," kata peguam tersebut.

Pindaan terhadap Seksyen 51A pada 2006 membenarkan pendakwaan mendedahkan bukti kes secara automatik sebelum perbicaraan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 6 November tahun lalu memutuskan seksyen itu jelas menyatakan bahawa hanya dokumen tertentu yang boleh diperoleh dan diperiksa oleh pembelaan sebelum prosiding dimulakan.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Hasan Lah sebulat suara membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting kepada Anwar.

Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas pemimpin pembangkang itu supaya dia diberikan spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 24, yang juga pengadu kes.

Dokumen penting yang gagal diperoleh termasuk rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari, Dr. Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi, pemilik kondominium, Hassanuddin Abdul Hamid, laporan perubatan pakar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pusrawi serta laporan kimia.

Ia juga melibatkan senarai saksi pendakwaan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pondok pengawal di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara serta kawasan lif Blok 11 kondominium itu di antara 25 Jun dan 27 Jun 2008.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

No comments: