Monday, December 14, 2009

PM puas hati pencapaian NKRA


Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin, Datuk Idris Jala (kanan) dan Tan Sri Koh Tsu Koon (belakang) selepas mengadakan sidang akhbar mesyuarat Program Transformasi Kerajaan di Hotel Mandrin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan pembentangan oleh menteri yang terlibat dalam menjayakan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti yang dihasratkan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, bengkel yang diadakan hari ini menyaksikan komitmen tinggi anggota Kabinet dalam mencapai agenda tersebut yang merupakan program transformasi kerajaan berasaskan pendekatan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Katanya, sesetengah daripada cadangan yang dibentangkan telah bermula pelaksanaannya kerana ada sasaran yang ditetapkan dalam tempoh setahun manakala penghujung sasaran adalah pada 2012.

“Saya juga mahu nyatakan bahawa program transformasi kerajaan melalui pendekatan NKRA ini boleh dikatakan mencatat sejarah kerana ia adalah kali pertama sebuah kerajaan melakukan usaha ini secara menyeluruh lagi komprehensif.

“Kedua, kita sanggup mendedahkan kepada pengetahuan orang ramai untuk menilai pencapaian yang dilakukan kerajaan (dalam mencapai enam NKRA itu),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Program Transformasi Kerajaan di sini hari ini.

Julai lalu, Najib mengumumkan NKRA yang menjadi sasaran kerajaan iaitu mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Bagi tujuan itu enam menteri peneraju dilantik iaitu bagi NKRA meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri), mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah), dan menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

Sementara itu, Najib berkata, banyak usaha yang telah dilakukan termasuk di makmal oleh anggota Kabinet dan pegawai kerajaan sejak berbulan lamanya dan kerja-kerja yang dijalankan adalah cukup terperinci seperti mengenal pasti keperluan setiap kampung di seluruh negara.

Katanya, bukan itu sahaja, prestasi 10,000 buah sekolah di seluruh negara merangkumi 7,000 buah sekolah rendah dan 3,000 buah sekolah menengah juga turut dikenal pasti.

“Begitu juga dengan bidang lain seperti menaikkan pendapatan golongan berpendapatan rendah yang juga telah dikenal pasti di mana hampir 44,000 isi rumah di seluruh negara boleh dipertimbangkan bantuan melalui program ini.

“Ini termasuk usaha memerangi rasuah yang kita telah dikenal pasti apa yang patut dilakukan, mengurangkan kadar jenayah dan juga memperbaiki pengangkutan awam,” jelasnya.

Menurut Najib, pembentangan pada bengkel hari ini hanyalah melibatkan perkara yang berkaitan dengan enam NKRA sahaja dan penilaian kepada kementerian lain akan dilakukan secara berasingan.

Kata beliau, umumnya pembentangan oleh menteri-menteri yang terlibat adalah memuaskan tetapi pada masa sama tentu sekali dalam mana-mana kerajaan pun akan ada ruang untuk menteri-menteri berkaitan terus memperbaiki prestasi.

“Untuk kementerian lain, saya akan lakukan penilaian secara berasingan dan proses itu sedang berjalan dengan ada 10 orang lagi menteri yang saya perlu berjumpa dan dengar taklimat mereka.

“Saya juga berharap setengah daripada usaha kita jangan dianggap sebagai muktamad. Ini satu proses, satu perjalanan dan rakyat dijemput untuk memberi cadangan balas dan pandangan mereka,” ujarnya

No comments: