Wednesday, December 30, 2009

Cadangan keahlian terus BN perlu perbincangan terperinci

KOTA KINABALU 29 Dis. - Cadangan membuka keahlian terus Barisan Nasional (BN) tanpa bersandarkan kepada parti-parti komponen perlu dikaji secara terperinci sebelum dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang dibuat hendaklah diteliti dan dibincangkan bersama semua parti komponen BN bagi memastikan ia tidak memberi kesan negatif pada masa akan datang.

"Ini bukan perkara baru, sudah disebut-sebut sebelum ini dan pernah kita bincang tetapi kita belum buat satu keputusan secara rasmi.

"Biarlah saya runding dengan parti-parti komponen BN di peringkat Majlis Tertinggi terlebih dahulu, mengkaji pro dan kontra, buruk dan baik serta kaedah sekiranya kita nak buat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan Perwakilan Tahunan ke-14 Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Semalam Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyarankan BN mewujudkan sistem keahlian terus yang dibuka kepada orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tanpa bersandarkan kepada parti-parti komponen.

Rais berkata, idea itu jika berhasil direalisasikan bakal memastikan BN bergerak cergas dianggotai semua individu di samping mampu menipiskan ras perkauman dalam sektor tertentu.

Menurut Perdana Menteri, dalam melaksanakan cadangan berkenaan, kaedah terbaik harus dicari terlebih dahulu bagi memastikan ia tidak menimbulkan masalah lain kepada BN.

Mengulas mengenai ketidakhadiran Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini, Najib berkata, kawalan dan pemantauan lebih ketat akan dilakukan bagi memastikan ia tidak berulang.

"Apa yang telah berlaku ini mesti dijadikan pengajaran dan sempadan bagi kita supaya tidak berulang, kita mesti tunjuk kepada rakyat bahawa kita adalah wakil rakyat yang bertanggungjawab mendokong amanah rakyat dan salah satunya adalah menghadiri sidang Parlimen.

"Saya faham ada ketikanya kita terpaksa hadir urusan di luar Parlimen waktu bersidang tetapi kita akan tetapkan kalau mereka perlu hadir ke luar atas keperluan yang sangat mendesak, mereka perlu memaklumkan kepada pejabat ketua whip," katanya.

Ditanya mengenai cadangan beberapa tokoh akademik supaya menjadikan rekod kehadiran ke Parlimen sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam menilai kedudukan mereka, Najib berkata, beliau akan menentukannya nanti.

"Tak apa lah, itu pada sayalah.. nanti sampai masa nak pilih calon nanti saya tahulah," ujarnya.

No comments: