Tuesday, October 20, 2009

'Saya tidak khianati Presiden' : Pergolakan MCA semakin terasa

PUTRAJAYA 19 Okt. - Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menegaskan beliau tidak berhasrat menjatuhkan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai presiden parti.

Sebaliknya menurut beliau, spekulasi tentang rancangan Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA untuk menjatuhkan presiden berpunca daripada pesanan Tee Keat sendiri selepas berlangsungnya mesyuarat agung luar biasa (EGM) 10 Oktober lalu.

''Sebelum berlepas ke luar negara (selepas EGM), presiden memberitahu kami (CC) tentang hasratnya untuk meletak jawatan.

''Disebabkan pesanan ini, kami telah berbincang dan membuat perancangan yang sepatutnya, keadaan ini menyebabkan banyak perkara berlaku dan memberi gambaran seakan- akan terdapat usaha untuk menjatuhkan presiden,'' katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri dan Deepavali anjuran Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Hubungan Tee Keat dengan Tiong Lai dilaporkan renggang selepas masing-masing bercanggah pendirian berhubung keperluan untuk mengadakan EGM kedua bagi menyelesaikan kemelut dalam MCA.

Tee Keat pada 15 Oktober lalu menggunakan kuasa presiden untuk memanggil EGM kedua tetapi cadangan itu tidak direstui sebahagian Ahli CC MCA yang mahu masalah parti itu diselesaikan di peringkat CC.

Tiong Lai berkata, beliau sedih apabila terdapat pihak yang menuduhnya membelot kepada Tee Keat yang merupakan kawan baik dan rakan seperjuangannya.

''Saya amat kecewa dan sedih dengan dakwaan bahawa saya telah mengkhianati kawan,'' katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, hubungannya dengan Tee Keat masih baik dan mereka sering berkomunikasi melalui telefon.

''Hubungan kita baik dan saya selalu menghubungi beliau (Tee Keat) melalui telefon.

''Malangnya terdapat banyak spekulasi yang mengganggu kami, kemelut dalam MCA perlu diselesaikan secepat mungkin,'' katanya.

Sementara itu di lobi Parlimen, Tiong Lai memberitahu, kekosongan satu jawatan Naib Presiden MCA akan dibincangkan oleh CC parti itu dalam mesyuarat yang akan datang.

Katanya, CC akan membincangkan sama ada akan diadakan pelantikan sementara bagi mengisi kekosongan itu atau diadakan pemilihan baru.

Tiong Lai sebelum ini adalah salah seorang Naib Presiden MCA yang kemudiannya dilantik oleh CC sebagai Timbalan Presiden bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek selepas EGM MCA meluluskan usul tidak mengembalikan jawatan itu kepada Soi Lek.

Berikutan itu, MCA kini hanya mempunyai dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Tiong Lai berkata, MCA sedar bahawa rakyat memberi harapan tinggi kepada parti itu.

''Kita kena cepat kembali bekerja dan selesaikan masalah dan menstabilkan parti seperti mana yang dimahukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya parti komponen menjadi kuat,'' katanya.

sumber : http://www.utusan.com.my

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam, adalah wajar Ong menunaikan janji yang pernah dibuatnya, jangan hendak menuding jari pada orang lain kalau mahun lihat keharmonian parti...