Wednesday, August 26, 2009

PBT Sabah, Sarawak terima RM62.8 juta

PUTRAJAYA 25 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM62.8 juta setahun dalam bentuk pemberian geran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah dan Sarawak mulai tahun depan.

Perdana Menteri berkata, dengan pemberian itu, kerajaan berharap PBT di kedua-dua negeri terbabit dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

"Kerajaan memutuskan bahawa pemberian geran tahunan kepada PBT yang sebelum ini diberikan kepada PBT di Semenanjung sahaja, dipanjangkan ke Sabah dan Sarawak mulai 2010.

"Pemberian ini melibatkan anggaran peruntukan tambahan sebanyak RM62.8 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2009 di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, mesyuarat tersebut juga bersetuju menaikkan kadar pemberian bayaran perkhidmatan daripada lima peratus kepada 10 peratus bagi kerajaan negeri di Semenanjung dan 12 peratus untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau menambah, dengan kenaikan itu bererti sumbangan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri bertambah daripada RM75 juta kepada RM100 juta.

Jelasnya, sumbangan itu diberikan kerana pembabitan kerajaan negeri dalam projek-projek Kerajaan Persekutuan di negeri-negeri berkenaan.

Selain itu, kata beliau, mesyuarat tersebut turut memaklumkan bahawa semua kerajaan negeri berjaya memperoleh Sijil Audit Tanpa Teguran daripada Jabatan Audit Negara bagi tahun 2008.

Bagaimanapun, menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan susulan ke atas teguran-teguran audit supaya sebarang kekurangan tidak berulang dan prestasi dapat ditingkatkan.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat tersebut juga menekankan supaya segala perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan negeri bukan sahaja perlu mematuhi peraturan-peraturan sedia ada tetapi berdasarkan prinsip berbaloi untuk nilai wang.

"Selain itu diharapkan semua hutang yang ditanggung kerajaan negeri dalam hubungan dengan Kerajaan Pusat dapat dijelaskan mengikut jadual. Begitupun kita ambil kira kekangan yang dihadapi oleh mereka (kerajaan negeri).

"Mana-mana projek kendalian kerajaan negeri yang tidak mendatangkan hasil seperti bekalan air luar bandar, pinjaman telah ditukar kepada bentuk geran," ujarnya.

Beliau menambah, bagi negeri-negeri yang menghadapi masalah kewangan terutama perbelanjaan pengurusan, Kerajaan Pusat sentiasa membantu menampung perbelanjaan tidak kira ia ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) atau pembangkang.

Najib menjelaskan, ia merupakan antara contoh bahawa Kerajaan Pusat sentiasa peka kepada keperluan kerajaan negeri.

Menurutnya, dalam soal kepentingan rakyat, Kerajaan Pusat tidak membeza-bezakan negeri yang diperintah oleh BN dan pembangkang.

1 comment:

YANG GAMBI said...

Tahniah kepada rakyat Serawak dan Sabah, semoga rakyat menerima manfaat dari apa yang diperuntukan...