Saturday, August 15, 2009

Beri sokongan padu kepada wakil BN - TPM

BUKIT MERTAJAM 14 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak memberi sokongan padu kepada Rohaizat Othman yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir 25 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Rohaizat yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh merupakan calon terbaik untuk mewakili BN bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Katanya, pemilihan Rohaizat diputuskan setelah perbincangan dilakukan antara beliau dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berdasarkan kriteria tertentu dan setelah dibuat sebaik-baik pertimbangan.

''Setelah menilai keadaan di Permatang Pasir, maklum balas daripada kepimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh (walaupun mereka tidak mencalonkan sesiapa dan menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti) dan selepas berbincang dengan Perdana Menteri yang kini berada di luar negara kita sepakat memilih Rohaizat sebagai calon BN untuk bertanding di Permatang Pasir.

''Rohaizat mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, merupakan seorang tenaga profesional dan tiada masalah. Justeru, saya berharap semua ahli BN akan menyokong calon ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN dan Pengumuman Calon Pilihan Raya Kecil N.11 Permatang Pasir di Bukit Merah di sini hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Gerakan yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Pengerusi MCA negeri, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Timbalan Pengerusi MIC negeri, Datuk P.K. Subbaiyah.

Lebih 1,000 orang hadir pada majlis berkenaan.

Rohaizat, 38, merupakan seorang peguam syarie dan pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Mengkuang Titi sejak 1996 sehingga sekarang dan merupakan Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Permatang Pauh dari tahun 2002 hingga 2008.

Selain bergiat aktif dalam politik, Rohaizat turut bergiat dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Muhyiddin berkata, jika mahukan pembangunan, rakyat tidak punyai pilihan selain daripada memberi sokongan kepada calon BN dan perubahan ke arah itu sudah dapat dilihat di sini sekali gus menunjukkan kerajaan ini berkesan.

''Kita telah hadapi banyak pilihan raya, kita kalah, kalah dan kalah tetapi di Manek Urai kita hampir menang dan ia jelas menunjukkan ada perubahan dan rakyat mahukan pembangunan.

''Berdasarkan pengalaman Pas tidak berani memperkatakan tentang pembangunan kerana mereka tiada wang tetapi orang mahukan pembangunan, itu yang terjadi semasa di Manek Urai.

''Jadi, Permatang Pasir akan menjadi anak emas peringkat Kerajaan Persekutuan jika calon kami dipilih oleh pengundi untuk menjadi wakil rakyat di sini," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, jika di Manek Urai BN mendapat kurang daripada 65 undi, maka di Permatang pasir beliau mahu melihat BN menang dengan sekurang-kurangnya jumlah undi yang sama.

Dalam pada itu, beliau berkata, pakatan pembangkang kini umpama retak menanti belah kerana kepincangan sesama mereka semakin terserlah.

''Setiap hari kita boleh mendengar PKR cakap lain, Pas cakap lain dan DAP cakap lain, mereka seumpama mempunyai mimpi masing-masing. Pakatan pembangkang semakin rapuh bukan seperti BN yang mempunyai organisasi yang teratur.

''Disebabkan itu, Anwar panggil pemimpin (pakatan pembangkang) dengan menyuruh mereka jangan bercakap banyak," ujarnya.

No comments: