Friday, July 24, 2009

Syed Ali kecam Anwar

KUALA LUMPUR 23 Julai - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sengaja mahu mengelirukan rakyat apabila mempersoalkan langkah kerajaan menubuhkan inkues dan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, kerajaan berusaha sebaik mungkin menegakkan keadilan kepada semua pihak berhubung tragedi kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor itu.

Katanya, sikap Anwar yang masih tetap tidak berpuas hati terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan menunjukkan beliau mempunyai agenda tertentu.

''Bermacam-macam tuduhan dilemparkan kepada kerajaan, semua pihak menuding jari kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

''Ini menunjukkan mereka seolah- olah sengaja mahu membakar sentimen perkauman dalam kalangan rakyat,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Semalam, Kabinet bersetuju menubuhkan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret bagi menentukan punca kematian Beng Hock minggu lalu.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut bersetuju menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM.

Syed Ali seterusnya berkata, sebelum ini, pihak pembangkang menjadikan kes kematian Beng Hock sebagai modal politik dengan mengadakan perhimpunan haram sambil mengkritik kerajaan, polis dan SPRM.

Tambah beliau, apabila kerajaan bersetuju menubuhkan inkues dan Suruhanjaya Diraja tersebut, Anwar pula mempersoalkan kewajaran langkah itu.

''Dia (Anwar) awal-awal lagi sudah membuat andaian dan tuduhan melulu, kononnya inkues dan suruhanjaya itu mempunyai kepincangan dan kelemahan," katanya.

''Sudah menjadi lumrah politik, dia sentiasa mempertikaikan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan walaupun usaha tersebut untuk kebaikan rakyat,'' ujarnya.

Menurut Syed Ali, Anwar sepatutnya memberi sepenuh kebebasan dan ruang kepada inkues dan suruhanjaya diraja memulakan tugas mereka.

Sebelum itu, Anwar dalam laman blognya menuduh suruhanjaya diraja yang ditubuhkan itu bukan untuk menyiasat punca sebenar kematian Beng Hock, tetapi hanya mengkaji peraturan soal siasat seterusnya dan tidak menjawab teka-teki kematiannya.

No comments: