Thursday, June 25, 2009

Semua agama relevan jayakan 1Malaysia

Oleh MOHD AYOP ABD RAZID
Ketua Unit Komunikasi Media
Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK)

Konsep 1Malaysia, gagasan diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak bertujuan memperkukuh perpaduan rakyat. Pelbagai perspektif sudah dibahas mengenai gagasan terbabit merangkumi perspektif pentadbiran, pembangunan, sosial, politik dan keselamatan.

Rencana ini cuba menjelaskan nilai yang ada dalam beberapa ajaran agama utama di negara kita. Nilai yang dibincangkan ini diharap dapat memberi gambaran daripada perspektif agama, gagasan 1Malaysia sangat relevan dalam membina negara bangsa yang kukuh.

Penulis tidak bercadang menyentuh nilai ajaran Islam kerana ia sudah banyak ditulis di samping buku mengenainya mudah diperoleh. Pemikiran agama atau 'pemikiran luhur' menjadi asas utama dalam tamadun ketimuran, terutama di rantau Asia dan Asia Barat.

Dalam konteks negara kita, ia menjadi semakin penting kerana kepelbagaian agama yang wujud di negara ini memerlukan setiap penganutnya memahami dan menghormati antara satu sama lain. Prasangka terhadap orang lain wujud apabila kita meletakkan minda kita berada dalam tembok perkauman atau keagamaan sempit terhadap orang lain.

Islam misalnya, agama mengajar kepelbagaian bangsa yang wujud bertujuan saling kenal mengenal antara satu sama lain (Surah Al-Hujurat, ayat 13). Justeru, di dalam ajaran Islam wujud dua sistem perhubungan manusia, iaitu perhubungan secara 'vertikal' antara manusia (hamba) dengan Allah dan perhubungan secara 'horizontal' antara manusia sesama manusia.

Demikian juga bagi penganut agama lain pasti mempunyai ajaran tertentu dalam perkara mengenai hubungan sesama manusia bagi melahirkan kehidupan harmoni dalam masyarakat dan negara. Di negara kita kepercayaan kepada Tuhan menjadi prinsip utama dalam Rukun Negara yang menjadi panduan hidup rakyat.

Nilai mulia yang ada dalam ajaran pelbagai ajaran agama juga dilihat selari prinsip kelima Rukun Negara iaitu 'Kesopanan dan Kesusilaan'. Kita mulai dengan ajaran Hinduisme. Tokoh etika Hinduisme, Patan Jali menerangkan wujud dua konsep dalam Hinduisme.

Pertama, konsep Yamas yang menitikberatkan pembinaan sahsiah diri. Ia mengandungi lima prinsip etika, iaitu tidak menghasut (asteya), tidak tamak haloba (aparigraha), tidak menipu dan amanah (sathya), baik fizikal dan rohani (bramacharia) dan pemikiran baik (ahimasa).

Konsep kedua ialah Niyamas iaitu nilai etika untuk kepentingan masyarakat. Ia mengandungi lima prinsip etika merangkumi bersih perlakuan (saucha), hormati orang lain (santhosa), membantu orang lain (tepaha), dermawan (iswariaparanidha) dan hidup berdisiplin (suadhyaya).

Dalam konteks masyarakat majmuk, tabiat menghasut antara kaum boleh menyebabkan masyarakat menjadi huru-hara serta mengancam keselamatan negara. Justeru, seseorang penganut Hindu yang baik mengamal prinsip etika itu pasti akan menjadi rakyat yang baik, sekali gus menjayakan gagasan 1Malaysia.

Ajaran Buddhisme yang diasaskan oleh Sinddharta Gautama Buddha turut mengajar beberapa nilai mulia untuk diamalkan penganutnya. Walaupun ajaran Buddhisme lebih berpusat kepada diri manusia, ajaran sila (moral) Buddha menekankan hukum sejagat berlandaskan sebab akibat, iaitu perbuatan baik akan meninggalkan kesan baik, sebaliknya perbuatan jahat akan meninggalkan kesan buruk pada individu itu.

Dalam ajaran 'Jalan Lapan Lapis Mulia', seorang penganut Buddha perlu memiliki pandangan betul, fikiran betul, pertuturan betul, kesedaran betul, tumpuan betul dan pemahaman serta usaha yang betul.

Semua lapan nilai terbabit menekankan cara berfikir, sikap dan amalan betul bagi mencapai kedamaian dalam hidup. Ini tidak bermaksud semua penganut Buddha perlu menjadi sami (rahib) tetapi cukup nilai itu diamalkan dalam kehidupan mereka. Justeru, sekiranya penganut Buddha menghayati dan mengamalkan 'Jalan Lapan Lapis Mulia' itu, pasti mereka menyumbang ke arah keharmonian dan perpaduan.

Ajaran Buddha turut menekankan kasih sayang sesama manusia. Pastinya kasih sayang terhadap orang lain akan terbit apabila wujudnya perasaan hormat menghormati dan saling mempercayai di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Hormat menghormati dan saling mempercayai antara kaum dan agama adalah dua asas penting dalam gagasan 1Malaysia. Dalam Konfucianisme pula, ajarannya yang bersifat falsafah menekankan etika dan nilai moral.

Prinsip moralnya terangkum dalam ajaran 'Lima Kebaikan' iatu Ren'(perasaan kasih sayang), Li (cara pentadbiran yang baik), Yi (kebaikan hati), Zhi (kebijaksanaan) dan Sin'(dapat dipercayai). Ajaran Konfucius mengajar penganutnya bahawa sifat kemanusiaan amat penting dalam hidup bermasyarakat.

Antara sifat yang terangkum dalam sifat kemanusiaan termasuk berlapang dada, boleh dipercayai, bersopan santun, rajin berusaha dan bersifat lemah lembut. Ren yang dianggap nilai moral tertinggi dalam ajaran Konfucius kerana mengajar kasih sayang sesama manusia.

Ajaran Kristian pula mementingkan etika ke arah betul atau salah satu perbuatan itu. Sumber ajaran Kristian ialah Bible yang terdiri daripada Old Testament yang mengandungi 'Sepuluh Rukun' (The Ten Commandments).

New Testament pula mengandungi 11 prinsip ajaran. Penulis mengenalpasti dalam The Ten Commandments terdapat empat nilai yang ada kaitan langsung dengan kehidupan bermasyarakat iaitu jangan merampas hak jiran, jangan membunuh, jangan berzina dan jangan mencuri. Di dalam New Testament pula nilai yang ada kaitan langsung dengan masyarakat ialah jangan menghina orang lain, jangan tamak, berikan kasih sayang kepada orang lain dan kasihkan jiran.

Akhirnya, penulis menyorot nilai mulia yang ada dalam agama Sikh. Agama Sikh yang berasal daripada ajaran Kabir yang mencampurkan ajaran Islam dan Hindu dikumpul oleh pengikut dalam kitabnya yang dikenali Bijak.

Ajaran Kabir kemudiannya dikembangkan oleh Guru Nanak. Seorang lagi guru Sikh bernama Arjan menghasilkan kitab Adi Granth (Kitab Utama) yang memuatkan khutbah Guru Nanak, sajak Kabir dan beberapa guru lain sebelumnya. Antara nilai utama dalam ajaran agama Sikh ialah kesamarataan, tidak sombong, menghormati guru dan menyebarluaskan kasih sayang sesama manusia.

Kesimpulan, dilihat daripada perspektif pelbagai agama, konsep 1Malaysia amat relevan untuk membina perpaduan erat di kalangan rakyat. Ia dapat membina tamadun Malaysia yang unik dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama tetapi bertunjangkan 'bangsa Malaysia' yang bersatu padu. Sebahagian nilai yang disebutkan dalam beberapa ajaran agama ada persamaan dengan beberapa nilai yang dihurai dan dijelaskan oleh Najib di dalam blognya.

No comments: