Tuesday, May 5, 2009

Pelucutan jawatan Nizar akibat hilang kepercayaan - Peguam NegaraKUALA LUMPUR

5 Mei — Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar kerana pelucutan jawatannya dibuat secara sah mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak kerana beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhujah bahawa Tuanku Sultan telah mematuhi Perlembagaan Perak dan telah menimbang dengan teliti fakta dan perkembangan sebelum mengisytiharkan pada 5 Feb lepas bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan itu.

“Saya dapati bahawa Baginda Sultan Perak telah menjalankan tugas dengan cara paling hormat,” kata Abdul Gani dalam penghujahannya selaku pencelah dalam prosiding semakan undang-undang yang difailkan oleh Mohammad Nizar pada 13 Feb lepas.

Mohammad Nizar, 52, memohon perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah selain untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Feb, daripada menjalankan tugas itu.

Abdul Gani berkata untuk menentukan tidak berlaku sebarang kecacatan dalam keputusan Baginda, Sultan Azlan Shah telah memanggil dan menyoal tiga anggota Dewan, yang dahulunya daripada parti-parti pakatan pembangkang, terdiri Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) bagi memastikan bahawa Barisan Nasional mendapat sokongan mereka. - Bernama

No comments: