Tuesday, April 21, 2009

Ahli politik diminta patuh - Rais


Rais Yatim (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Menteri Luar yang baru, Anifah Aman di Wisma Putra, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 20 April - Semua ahli politik di negara ini perlu akur dengan peringatan Sultan Perak berhubung pentingnya institusi raja Melayu disisihkan daripada sebarang pergolakan atau pertikaian politik sesama mereka.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ingatan kali kedua itu mengukuhkan hujah bahawa institusi raja perlu mengikuti tahap tradisinya dan kepentingan Perlembagaan Persekutuan.

''Apabila bercakap tentang Satu Malaysia, institusi raja Melayu tidak boleh diketepikan kerana ia merupakan tonggak dan tiang seri kepada kenegaraan atau kerajaan itu sendiri.

''Ahli politik harus menerimanya dengan jelas terutama pihak-pihak yang mengeluarkan kata-kata kesat sama ada melalui ucapan, blog atau media yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Dokumen Serah Tugas kepada Menteri Luar yang baru, Datuk Anifah Aman di sini hari ini.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, tindakan kumpulan politik tertentu yang menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain mencemar institusi diraja dengan menyemai rasa benci merupakan satu perbuatan 'menyalakan api dalam sekam.'

Sehubungan itu, Rais memberitahu, pihak beliau akan memberi penerangan tentang kedudukan institusi raja Melayu dalam masyarakat majmuk secepat mungkin.

''Kami akan mengusulkan titah Sultan Perak itu supaya kita dapat menghuraikan dari segi fahaman, penerimaan dan pelaksanaan kedudukan raja Melayu dalam masyarakat majmuk di negara ini," katanya.

-Utusan Malaysia 21.04.09-

No comments: