Thursday, March 12, 2009

PM akan umum secara rasmi tarikh peralihan kuasa

Bercakap kepada pemberita pada lawatan seharinya ke Sabah di sini hari ini, Perdana Menteri menjelaskan, buat masa ini, beliau dan timbalannya mengadakan banyak perbincangan mengenai pelbagai perkara.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai tarikh tersebut, Abdullah berkata: ‘‘Sudah tentu kami perlu mempunyai tarikh’'.

Abdullah diminta mengulas laporan portal berita yang menyebut beliau telah memaklumkan kepada Najib, tarikh penyerahan kuasa sebagai Perdana Menteri akan berlangsung pada 3 April ini.

Menurut laporan tersebut, tarikh itu sedikit tersasar daripada pelan asal iaitu 31 Mac, bagi membolehkan Abdullah mempengerusikan mesyuarat Kabinet buat kali terakhir pada 1 April, sekali gus bertemu dengan Menteri-menteri Kabinet yang berkhidmat di bawah kepimpinannya.

Laporan itu turut menyebut, upacara angkat sumpah Najib sebagai Perdana Menteri keenam negara akan dilakukan Jumaat, 3 April iaitu empat hari sebelum pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air serta kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Sementara itu, Perdana Menteri turut ditanya mengenai satu lagi laporan portal berita bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa makan tengah hari di Madrasah Nurul Iman di Hulu Langat, Selangor semalam.

Sambil menafikan laporan tersebut, Abdullah menegaskan, berita berlaku perbincangan empat mata (antara beliau dan Anwar) itu hanya rekaan semata-mata.

‘‘Tak ada... tak ada (perbincangan dengan Anwar). Dia agak sahaja tu atau orang lain buat cerita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengenali tokoh agama, Sheikh Mahmud Al-Mazjub dan menerima jemputan makan tengah hari sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran madrasah itu.

Katanya, selain Maulidur Rasul, majlis tersebut turut diadakan sempena sambutan tamat latihan kerohanian 40 tahun tokoh agama tersebut.

‘‘Semasa saya sedang makan, Anwar tiba, sebab dia pun dijemput. Itu sahaja.

‘‘Semasa saya bercakap dengan Sheikh Mahmud, dia bagi pandangan macam-macam tentang masalah yang dihadapi dunia. Mengenai pentingnya kepimpinan negara. Kita mesti adil dan kita mesti mengawal keamanan. Itu yang ditekankan,’’ katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau hanya bercakap dengan Sheikh Mahmud dan bukannya dengan Anwar.

‘‘Dia (Sheikh Mahmud) bercakap dengan saya, bukan dengan Anwar dan saya pun tidak bercakap dengan dia (Anwar) sebab dia sedang dengar tok guru bercakap. Tidak ada apa yang lebih selain itu,” jelas Abdullah.

No comments: