Sunday, March 22, 2009

Fairus letak jawatan TKM I : APA KATA ANUWAR?

PULAU PINANG 21 Mac - Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini menghantar surat peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan juga Exco kerajaan negeri kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Guan Eng mengesahkan beliau menerima surat peletakan jawatan itu yang berkuat kuasa 8 April daripada Fairus melalui faksimile awal pagi ini.

"Kita menerima peletakan jawatan itu setelah mengadakan perbincangan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan PKR negeri, Datuk Zahrain Mohamed Hashim," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP enggan mengulas mengenai sebab-sebab peletakan jawatan Fairus.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerima peletakan jawatan Fairus sebagai Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Pembangunan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat.

"Saya percaya Fairus ada sebab sendiri untuk meletak jawatan tetapi beliau masih kekal dengan PKR dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti," katanya.

Ditanya mengenai pengganti Fairus, Guan Eng berkata: "Kedudukan itu kini kosong sehingga 8 April sebelum surat peletakan jawatan itu berkuat kuasa."

Beliau berkata, Fairus akan menghabiskan semua cuti tahunan sehingga 8 April sebelum peletakan jawatan itu berkuat kuasa.

Sebelum ini, ada spekulasi bahawa Fairus akan mengosongkan jawatannya Khamis lepas tetapi pemimpin parti mengatakan ia hanya khabar angin.

Semalam, Guan Eng memaklumkan Fairus bercuti pada minggu ini dan akan kembali bertugas Isnin ini melainkan beliau menyambung cutinya. - BERNAMA

No comments: