Monday, February 2, 2009

Wait and See : DS Najib

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak tahu berapa ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada pakatan pembangkang di Perak yang akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak tahu, kita akan lihat," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bahawa beberapa ADUN daripada pakatan itu akan menyertai BN.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pentas Studio Pengadunan Digital Perbadanan Filem Nasional (Finas) di Kompleks Merdeka Studio di sini malam ini.

Hari ini, dua ADUN Perak daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd. Osman Jailu menafikan kenyataan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar bahawa mereka telah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Beberapa jam sebelum itu, V. Sivakumar dalam kenyataan akhbarnya mengumumkan dua ADUN itu telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada beliau.

Mereka berkata, surat perletakan jawatan itu yang dimaksudkan V. Sivakumar itu telah ditandatangani pada 8 Mac tahun lepas.

"Surat tanpa tarikh itu ditandatangani oleh tujuh Adun PKR kerana kerajaan negeri bimbang kami akan menyertai Barisan Nasional (BN).

"Nampaknya, surat ini telah digunapakai untuk mengumumkan kononnya kami meletak jawatan. "Ini satu pembohongan dan saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya," kata Jamaluddin ketika dihubungi beberapa jam selepas V. Sivakumar mengumumkan mereka meletakkan jawatan.

Awal hari ini, Abdullah memberitahu, pemberita bahawa beberapa wakil rakyat Pakatan Pembangkang di Perak akan menyertai BN.

"Insya-Allah, ia akan berlaku. (Kita akan) terima mereka kerana ini pilihan mereka dan mereka mahu menyertai kita dalam perjuangan... ia akan merupakan satu pengalaman baru untuk mereka dan membenarkan mereka berpeluang untuk berkhidmat melalui BN," kata Abdullah

No comments: