Friday, February 27, 2009

Karpal diberi masa 24 jam kemuka bukti

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pemuda UMNO memberi tempoh 24 jam kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk mengemukakan bukti bahawa pergerakan itu bertanggungjawab mengirim dua butir peluru bagi mengugutnya.

Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu perlu segera mengemukakan bukti terhadap tuduhan liar, gila dan berniat jahat yang dibuatnya jika tidak mahu dianggap sebagai seorang penipu yang ketandusan modal.

''Tuduhan beliau telah menimbulkan kemarahan seluruh 700,000 ahli pergerakan ini dan sekiranya beliau gagal memberi sebarang bukti, rakyat Malaysia bolehlah menganggap dirinya seorang yang sudah hilang segala kredibiliti dan kewarasan," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama-sama 30 pemimpin pergerakan itu dari seluruh negara di lobi Parlimen hari ini.

Karpal ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam, mendakwa sepucuk surat beserta dua butir peluru telah diposkan oleh pergerakan itu ke alamat rumahnya di Jalan Utama, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu.

Dalam ucapan itu, beliau juga mengungkapkan 'Pemuda UMNO celaka' bagi meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pergerakan tersebut membuat laporan polis dan menganjurkan demonstrasi sebagai membantah hasratnya untuk menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya ucapan Karpal itu kerana ia celupar, kesat dan tidak mematuhi etika Parlimen dan mencabarnya untuk mengulangi apa yang telah disebutnya di luar Dewan.

''DAP sering membangkitkan isu Parlimen kelas pertama. Namun, tindakan Pengerusinya ini jelas menunjukkan perangai dan sikap Ahli Parlimen parti berkenaan langsung tiada kelas.

''Karpal tidak boleh menjadi penakut dengan berselindung di belakang kekebalan seseorang Ahli Parlimen di dalam Dewan dengan membuat tuduhan yang tiada asas dan kebenaran," katanya.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan pihaknya tidak akan membuang masa dengan meminta Karpal memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak mengerti makna taubat dan pengakuan salah.

''Kalau kita desak dia minta maaf seribu kali pun dia takkan minta maaf. Sebab itu, kita minta dia kemukakan bukti dalam tempoh 24 jam," katanya.

Tambah beliau, Pemuda UMNO juga mendesak pihak Peguam Negara bertindak cepat terhadap segala syor yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Karpal sebelum ini.

2 comments:

kamal said...

kalau karpal tak juga minta maaf dalam 24 jam sewajarnya kita ambil tindakan untuk membuktikan yang kata kata beliau itu ada lah satu penghinaan pada orang melayu..perlu kita bersatu bagi mempertahankan maruah orang2 melayu

Zaidil Ripin said...

Sdr Kamal,
Saya bersetuju dengan pandangan sdr. Hidup Melayu. Jahaman Kapal...