Friday, December 26, 2008

Transformasi Politik Husam

Dicabar kekanan, digertak kekiri. Inilah yang saya lihat tentang YB Dato' Husam Musa, Naib Presiden PAS, apabila, belum pun sempat hilang panasnya bara ketetapan dan jawapan beliau untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia , terus tersungkur dan menyerah kalah pada gesaan DAP.

Semasa majlis Wacana Transformasi Politik Malaysia, saya telah minta pendirian jelas daripada Dato' Husam mengenai perlaksanaan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat sepertimana impian 16 September. Beliau menjawab dengan jelas "kita akan buat." Saya selanjutnya meminta beliau jelaskan sekali lagi jawapannya dan beliau menegaskan sekali lagi bahawa "kita akan buat" sambil mengangkat jari dan tangan menandakan kesungguhan jawapan beliau.

Namun, tak sampai 24 jam kenyataan beliau disiarkan oleh pihak media, YB Lim Kit Siang, selaku Supremo DAP, mempertikaikan kenyataan Dato' Husam dan menegaskan bahawa hukum hudud tidak menjadi dasar Pakatan Rakyat. Kenyataan Lim Kit Siang ini kemudiannya disokong oleh anak beliau YAB Lim Guan Eng, yang dipuji berkali-kali dalam Wacana tersebut oleh Dato' Husam sebagai pemimpin moden ala Saidina Omar Abdul Aziz.

Akibat pukulan dan desakan DAP ini, Dato' Husam yang tampak berani dan bersemangat tinggi semasa majlis Wacana di Balai Islam Kota Bharu, tiba-tiba pula menjadi ikon transformasi politik layu di mana dengan longlai dan lesunya tunduk kepada gertakan DAP. Tidak sampai dua hari selepas Dato' Husam dengan lantang memberi jaminan kepada penyokong tegar PAS di gelanggangnya sendiri bahawa hudud akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan persekutuan, beliau sudah pun "surrender" dan kata hukum hudud tidak akan dilaksanakan kerana memerlukan persetujuan rakan kongsi "senior" dalam Pakatan Rakyat yakni PKR dan DAP.

Kenyataan "u-turn" Dato Husam dalam tempoh yang amat pendek sekali memberikan kita satu lagi contoh dimana PAS terpaksa tunduk kepada desakan parti DAP. Dimanakah prinsip PAS yang dikatakan oleh Dato' Husam semasa beliau bentangkan mukadimahnya di Wacana tersebut yang mana antara "P" penting yang disebut adalah prinsip? Takkan prinsip boleh dibuang begitu mudah sahaja? Wallahualam.

No comments: