Wednesday, December 31, 2008

PMR: Lima sekolah mencapai 100 peratus penguasaan minimum ‘D


KUCHING: Pencapaian kelulusan pelajar di negeri ini dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini amat membanggakan dengan lima sekolah mencapai 100 peratus penguasaan minimum ‘D’ dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Sarawak Dr Julaihi Bujang memberitahu prestasi PMR tahun ini (2008) menampakkan peningkatan yang ketara dengan pertambahan 39 calon mencapai kelulusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran berbanding tahun lepas (2007).

Dalam laporan keputusan PMR dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) di sini semalam, Julaihi berkata pencapaian itu adalah sangat membanggakan.

“Sarawak mencapai peningkatan ketara dalam enam mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Kemahiran Hidup 2 & 3 dan Bahasa Iban bagi calon-calon mendapat A.

“Perbezaan peningkatan antara dua hingga empat peratus berbanding tahun 2007,” katanya.

Beliau menjelaskan, mata pelajaran Bahasa Melayu mencapai 21.2 peratus, Bahasa Inggeris (14.3 peratus), Matematik (19.6 peratus), Kemahiran Hidup 2 (ERT) (14.8 peratus), Kemahiran Hidup 3 (Pertanian) 9.4 peratus dan Bahasa Iban (30.1 peratus).

Menurut Julaihi, lima sekolah yang mencapai kelulusan 100 peratus penguasaan minimum ‘D’ dalam semua mata pelajaran adalah Sekolah Menengah Sains Kuching, Sekolah Menengah Sains Miri, Maktab Rendah Sains MARA Kuching dan dua sekolah swasta iaitu Sekolah Menengah Tunku Putra Kuching dan Kiang Hin Middle School Sibu.

“Bagi tahap penguasaan minimum ‘D’, Sarawak mencatat peningkatan tiga hingga enam peratus dalam empat mata pelajaran iaitu Bahasa Inggeris (74.9), Pendidikan Islam (92.9), Kemahiran Hidup 2 (93) dan Bahasa Arab (65.7).

“Pencapaian keseluruhan bagi tujuh mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Sains, Bahasa Cina dan Bahasa Iban telah mengatasi pencapaian keseluruhan pada peringkat kebangsaan,” katanya.

Julaihi berkata, dari segi pencapaian individu seramai 1,563 calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) telah berjaya mencapai keputusan cemerlang iaitu peringkat A dalam semua mata pelajaran yang mereka duduki.

Katanya, peningkatan tahun ini adalah sebanyak 3.87 peratus berbanding tahun lalu iaitu seramai 1,524 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Beliau menjelaskan, secara keseluruhannya seramai 24,297 calon (60.09 peratus) PMR tahun ini mampu menguasai tahap minimum ‘D’ bagi semua mata pelajaran.

“Seramai 41,073 calon seluruh negeri ini menduduki PMR tahun ini dan daripada jumlah itu 40,229 adalah calon SMK, 701 calon sekolah swasta, 136 calon MRSM dan tujuh calon persendirian,” katanya.

Keputusan peperiksaan PMR 2008 diumumkan secara rasmi di seluruh negara semalam dan semua keputusan calon sekolah dihantar ke sekolah masing-masing sementara keputusan calon persendirian telah diposkan.

Sehubungan itu pihak sekolah, calon dan ibu bapa diingatkan bahawa permohonan untuk semak semula perlu dibuat dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan dan dihantar terus kepada Lembaga Peperiksaan Malaysia.

No comments: