Thursday, November 27, 2008

Penghargaan Kerajaan kepada Penjawat Awam: Tahniah!!!

1) Kerajaan bersetuju supaya pilihan semula diberi kepada kakitangan awam yang telah memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menyertai skim pencen. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata tempoh pilihan selama sebulan itu bermula dari 1 Januari 2009 dan tarikh kuatkuasanya adalah pada 1 Februari. Beliau mengumumkan demikian pada majlis anugerah kualiti sektor awam 2008 di sini.

2) Abdullah berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perjawatan dan Gaji Pekerja-pekerja Sektor Awam pada mesyuaratnya baru-baru ini. Turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah bayaran ex-gratia kepada ibu bapa kakitangan kerajaan bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, katanya. Keputusan itu akan berkuatkuasa 1 Jan tahun depan.

3) Abdullah juga berkata bagi memperkasakan kegiatan pencegahan rasuah dan untuk membanteras jenayah, kerajaan bersetuju untuk membuat penambahbaikan pada skim pegawai siasatan, penolong pegawai siasatan dan pembantu pegawai siasatan. "Bagi urusan pencegahan rasuah, skim perkhidmatan tersebut bermula dengan kelulusan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan bagi PDRM (Polis Diraja Malaysia) pula, penambahbaikan bagi skim perkhidmatan pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan konstabel berkuatkusa pada 1 Jan 2009," katanya.

4) Abdullah berkata memandangkan persamaan fungsi dan tugas antara agensi penguatkuasaan maritim Malaysia, tentera laut dan polis daripada aspek penguatkuasaan undang-undang, kerajaan bersetuju agar kadar tambahan 20 peratus atas kadar kenaikan gaji diberi kepada pegawai dan anggota pangkat lain pangkat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia berkuatkuasa 1 Jan 2009.

5) Bagi kategori negara dengan penduduk melebihi 20 juta orang pula, Malaysia berada di kedudukan ketujuh berbanding kelapan pada tahun lepas. Perdana Menteri pencapaian yang baik juga diperlihatkan daripada segi inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi hasil daripada peningkatan usaha agensi kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan secara online. "Mengikut penilaian Brown University, kedudukan Malaysia telah meningkat daripada tangga ke-25 pada tahun lalu kepada tangga ke- 11 tahun ini," katanya.

6) Abdullah berkata perkhidmatan awam boleh merasa bangga dengan pencapaian itu kerana kerajaan telah menetapkan sasaran untuk melonjakkan kedudukan Malaysia ke taraf 10 teratas dalam mana-mana kategori penarafan antarabangsa. Perdana Menteri berkata inisiatif penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam harus berdasarkan kepada ukuran yang objektif dan bukan pendapat subjektif semata-mata.

7) Abdullah juga mahu pemilihan pemenang anugerah kualiti sektor awam dibuat berasaskan kriteria keunggulan yang mantap serta tahap penilaian yang tinggi agar kewibawaan pemenang terbukti serta tidak dipertikaikan mana-mana pihak. "Jika kelayakan pemenang anugerah dipersoalkan, maka ia akan menghakis keyakinan umum terhadap program anugerah kualiti sektor awam. "Untuk itu, pengukur bagi pemenang anugerah bukan hanya setakat memenuhi kriteria keunggulan semata-mata tetapi turut melepasi ujian dari segi penerimaan umum terhadap kecemerlangan agensi penerima," katanya.

8) Abdullah berkata kini sektor awam tidak lagi dikritik setelah kualiti sektor perkhidmatan awam dipertingkatkan. "Sekarang ini amat kurang aduan diterima terhadap perkhidmatan awam dan ini dikesan dari dialog-dialog yang diadakan," katanya.

No comments: