Friday, November 7, 2008

Penan: Tiada bukti dera seks

KUCHING 6 Nov. - Siasatan polis mendapati tiada bukti untuk mengatakan wanita kaum Penan mengalami penderaan seks oleh pekerja kayu balak di daerah Baram di Miri. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah menghantar pasukan ke penempatan masyarakat terbabit di Baram untuk mengambil keterangan, bagaimanapun tidak memperoleh sebarang bukti mengenai dakwaan tersebut. Malah, menurutnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat dakwaan itu juga tidak memberi kerjasama serta keterangan terperinci kepada polis bagi membantu siasatan.

''Selain dua laporan kes kaum Penan, polis pada masa ini turut menyiasat 10 kes rogol di kawasan Baram membabitkan kaum- kaum lain yang turut tinggal di kawasan itu dan lima daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah.''Kes-kes itu termasuklah keskes lama," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sehubungan itu, Musa memberitahu, polis telah menubuhkan pasukan khas dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi menangani gejala rogol yang membabitkan kaum Penan serta kaum- kaum lain di kawasan pedalaman negeri ini. Katanya, pasukan itu akan meneliti segala aduan dan laporan polis serta menyiasat akan kesahihannya menurut undang-undang berkaitan jenayah rogol.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mangsa atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung jenayah rogol membabitkan kaum pribumi di pedalaman Sarawak supaya membuat laporan polis agar boleh disiasat segera.''Kita akan siasat dan ambil tindakan terhadap laporan polis berhubung isu rogol ini meskipun kaum Penan atau yang lain mempunyai definisi jenayah rogol atau undang-undang masyarakat itu sendiri bagi menanganinya.

''Tidak timbul juga isu sama ada kaum Penan itu tidak mempunyai Mykad atau dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka tidak dapat buat laporan, sesiapa saja boleh buat aduan termasuk saudara-mara, ketua kaum atau pemimpin masyarakat mereka dan polis pula akan tetap ambil tindakan'' ujarnya.

No comments: