Tuesday, November 11, 2008

Nasi kandar, roti canai turun harga

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Selaras dengan saranan kerajaan meminta para peniaga menurunkan harga barang baru-baru ini, dua buah persatuan pengusaha restoran Malaysia yang mewakili kira-kira 4,500 ahli termasuk 200 di Lembah Klang hari ini menyahut seruan tersebut dengan menurunkan harga tiga jenis barang makanan.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) bersetuju menurunkan harga nasi kandar, roti canai dan teh tarik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, kedua-dua persatuan itu telah menetapkan untuk menurunkan harga sebanyak 20 sen bagi sepinggan nasi kandar manakala 10 sen bagi roti canai dan teh tarik.

Beliau berkata, melalui penurunan itu, harga nasi kandar kini menjadi RM1.30 daripada RM1.50, manakala bagi roti canai harga maksimum iaitu dari RM1.20 hingga 90 sen dan teh tarik pula RM1.50 hingga 70 sen.

"Kementerian berterima kasih kepada kedua-dua persatuan ini kerana kesanggupan menurunkan harga. Walaupun tidak banyak tetapi mereka telah menunjukkan keprihatinan terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi sekarang.

"Ia terpulang kepada para peniaga, tiada paksaan. Namun kementerian berbesar hati sekiranya peniaga-peniaga lain turut mengambil langkah yang sama bagi kepentingan pengguna," katanya selepas merasmikan kempen turun harga oleh Presma dan Primas di sini hari ini.

Hadir hadir pada majlis perasmian itu ialah Presiden Presma, Jamarulkhan Kadir dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman.

Shahrir berkata, sebelum ini sebuah pasar raya telah bersetuju menurunkan harga barangan keperluan kepada pengguna.

''Tidak salah jika peniaga-peniaga kecil pula menurunkan harga kerana rakyat lebih berminat melihat di kalangan peniaga seperti ini untuk menurunkan harga bagi barangan tertentu.

"Saya sering mengingatkan bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa keseluruhan untuk menurunkan harga barangan tetapi sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada peniaga dan pengguna," ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden Primas, T. Muthusamy berkata, kedua-dua persatuan itu memahami masalah yang dihadapi oleh pengguna terutama ketika harga minyak tidak menentu.

"Justeru, kami telah bersetuju untuk memberi sokongan kepada kerajaan dengan memilih tiga jenis barang ini yang merupakan pilihan orang ramai.

"Walaupun pada dasarnya masih banyak barangan mentah yang belum diturunkan harga tetapi demi kepentingan pengguna, kami berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi manfaat," katanya.

No comments: