Monday, November 17, 2008

Kukuhkan politik Melayu

Politik Melayu perlu diperkukuh dan diperkasakan melalui penyatuan kaumnya yang ramai bagi mengelak daripada terus dicemuh dan dipersenda oleh pihak lain yang hendak mengambil kesempatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kebelakangan ini, terlalu banyak penghinaan yang dilemparkan terhadap orang Melayu seolah-olah mereka telah hilang punca dan maruah.

“Fakta dan sejarah seolah-olah menjadi alat mainan politik lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina.

“Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tidak kisah lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Pribumi Dalam Perlembagaan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Memorial Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Dalam hal ini, Rais yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan kerana ia lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara.

Katanya, laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

‘‘Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum menjamin kekuatan semula jadi, jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri,’’ tegasnya.

Justeru Rais berkata, orang Melayu perlu menghindari imej yang melemahkan perjuangan dan pada masa yang sama, bertindak apabila Melayu dan UMNO dicerca oleh politik luaran.

Rais berkata, fakta sejarah boleh dianggap sebagai faktor utama yang meneguhkan hujah bahawa orang Melayu adalah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya, ia sama seperti India adalah negeri orang berketurunan India, Arab di Timur Tengah dan seperti negeri China dinamakan sedemikian lantaran bangsa Cina yang mendiami negara itu.

“Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini,” katanya.

Daripada aspek ekonomi, menurut beliau, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera harus dilengkapi dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan.

“Ekonomi bumiputera kini melebihi paras 30 peratus daripada segi perolehan aset. Malangnya, bumiputera masih dikatakan berada di tahap kurang 20 peratus. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap?

“Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib lain. Sebagai warga Malaysia, tidak salah jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50 atau 60 peratus sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut berkenaan, jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini kurang berjaya memperjuangkan kaedah dan mekanisme penyampaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun daripada segi pembangunan, banyak kemajuan telah tercapai.

Justeru katanya, orang Melayu perlu menolak nisbah “sekurang-kurangnya 30 peratus” dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan negara untuk dimiliki oleh bumiputera.

Mengenai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, Rais berkata, ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.

Katanya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh menjalankan usaha pemantauan dengan menguatkuasakan undang-undang berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan dengan segera.

Sementara itu, hadir sama pada program wacana tersebut ialah Presiden Perkasa yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pembentang kertas kerja dan pembahas ialah Penasihat Perundingan Kebangsaan Melayu, Tan Sri Abd. Aziz Abd. Rahman; Pensyarah Undang-undang Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Shaik Mohamad Nor Alam; peguam Zainur Zakaria dan Abdul Halim Abdullah

No comments: