Friday, November 21, 2008

Dr. Mahathir disaran Pengerusi MTEN

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Kerajaan disaran melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara (MTEN) berdasarkan pada kemampuan beliau sebelum ini.

Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) berkata, pengalaman Dr. Mahathir yang berpengetahuan luas dalam bidang ekonomi sudah terbukti dan beliau merupakan individu yang paling sesuai diberi tanggungjawab itu.

''Sudah terbukti Dr. Mahathir seorang tokoh politik dan berkaliber dalam bidang ekonomi," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk S.K Devamany pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menurut Tajuddin, bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diberikan nasihat dan Dr. Mahathir merupakan orang yang paling sesuai memainkan peranan itu.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Tajuddin mengenai keanggotaan MTEN, Devamany memberitahu, majlis itu kini dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi manakala Timbalan Perdana Menteri sebagai Timbalan Pengerusi.

''Majlis ini mempunyai 40 anggota terdiri daripada menteri, wakil kerajaan, wakil sektor swasta, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," ujarnya.

Jelas beliau, antara anggota sektor swasta yang berada dalam majlis itu ialah Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (Isis), Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar.

Menurut Devamany, anggota Majlis Ekonomi Negara berperanan mengemukakan idea dan cadangan bagi mengenal pasti langkah mengawal inflasi serta merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

''Memandangkan kadar inflasi telah berkurangan dengan indeks harga pengguna (CPI) pada September lalu telah menurun kepada 8.2 peratus daripada paras tertinggi 8.5 peratus pada bulan Julai dan Ogos, maka tumpuan mereka kini adalah lebih kepada menggembleng usaha ke arah memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Devamany berkata, segala cadangan yang dikemukakan ahli dibincang pada mesyuarat Majlis Ekonomi serta Mesyuarat Exco Majlis Ekonomi dan keputusan yang dipersetujui akan dibawa untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri.

No comments: