Wednesday, November 12, 2008

585 projek rumah miskin tegar siap hujung tahun

Sebanyak 585 projek Program Bantuan Rumah (PBR) bernilai kira-kira RM18 juta bagi program pembasmian kemiskinan tegar di Sarawak akan siap pada Disember ini. Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Datuk Kamal Husin, berkata, ketika ini kesemua projek berkenaan yang dikenal pasti menerusi talian pembasmian kemiskinan e-Kasih dengan kebanyakannya telah siap.

Kata beliau, selain itu, Program Peningkatan Pendapatan (PPP) di negeri ini juga boleh disifatkan berjaya kerana telah berjaya mengeluarkan ramai golongan sasaran daripada garis kemiskinan.''Ramai nelayan di negeri ini yang menerima bantuan tersebut kebanyakannya berjaya meningkatkan pendapatan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui selepas majlis Majlis Penyerahan projek Program Bantuan Rumah (PBR) dan PPP di Dewan Kampung Salak dekat sini. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Ghani Ariffin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, ICU setelah melawat Kampung Salak bercadang untuk membina sebuah jeti utama bagi kegunaan kampung berkenaan bermula tahun hadapan. Ujarnya, ia merupakan salah satu projek yang telah dikenal pasti selain daripada bantuan-bantuan PBR dan PPP bagi memberi keselesaan kepada penduduk kampung.

''Kita akan mempertimbangkan pembinaannya pada tahun hadapan dan pelaksanaannya bergantung kepada peruntukan yang diterima," jelas beliau.

No comments: