Thursday, February 6, 2014

ANUWAR : 1.6 JUTA UNTUK PRK KAJANG,... INI TIDAK MEMBAZIR???




MELAKA 6 Feb. - RM1.6 juta anggaran wang rakyat yang perlu dibelanjakan bagi mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Selangor pada 23 Mac ini.

Persoalannya patutkah wang rakyat ini dibelanjakan, yang dilihat ramai sebagai permainan politik PKR apabila wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh sengaja mengosongkan kerusi DUN Kajang pada 27 Januari lepas semata-mata mahu memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, wang rakyat itu sepatutnya dibelanjakan untuk membantu rakyat tetapi malangnya RM1.6 juta itu terpaksa dibayar oleh rakyat untuk wayang politik Anwar di Selangor.

Secara perbandingan, jumlah itu mampu menampung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM650 masing-masing kepada lebih 2,400 keluarga ataupun RM300 masing-masing kepada lebih 5,300 individu bujang di negara ini.

RM1.6 juta itu juga mampu menampung pemberian lebih 50 buah rumah percuma masing-masing berharga RM30,000 di bawah program perumahan rakyat kepada mereka yang kurang berkemampuan ataupun menampung pemberian percuma 16 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat 1Malaysia berharga RM100,000 sebuah.

"PKR secara jelas mempermainkan proses demokrasi di Selangor dengan kosnya ditanggung oleh wang rakyat sendiri, malah bukan setakat demokrasi itu dipermainkan malah rakyat sendiri dipermainkan mereka," kata Zainal yang juga Penyandang Kursi Tun Abdul Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris ketika dihubungi Bernama. - BERNAMA


PAS PUN MINAT KERUSI MB SELANGOR



Di sebalik polemik perebutan kuasa dalaman yang melanda parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini, rakyat khususnya di Selangor sedang melihat mengenai ura-ura yang mengatakan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bakal menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar yang baharu. Isu tersebut turut dibangkitkan oleh kepimpinan Pas pusat dan Pas negeri Selangor yang menegaskan jawatan tersebut perlu diberikan kepada parti itu sekiranya PKR berhasrat ingin melakukan perubahan tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Namun disebabkan penegasan itu juga, ia telah menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pimpinan, penyokong dan ahli PKR. Mereka mungkin merasakan kenyataan itu telah menghina Anwar yang selama ini telah digambarkan sebagai pemimpin yang hebat dan tiada tolok bandingnya. Sebagai contoh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor melalui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, menyelar kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat yang tidak bersetuju sekiranya Anwar diangkat sebagai Menteri Besar Selangor.

“AMK Johor juga tidak nampak sekiranya DSAI (Anwar) diangkat menjadi Menteri Besar Selangor akan memudaratkan rakyat Selangor itu sendiri. Kita tawarkan pemimpin berpengalaman luas untuk negeri Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama parti pendukung PR khususnya di Selangor,” katanya. Suhaizan sebelum ini menegaskan Pemuda Pas menyokong Anwar sebagai calon PKR untuk kerusi DUN Kajang, namun itu tidak bermakna, Pemuda Pas turut bersetuju dengan cadangan untuk melantik Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.

Gusar dengan perkembangan tersebut, Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar segera meminta agar isu ini segera dihentikan. Menurutnya ia bagi menjaga air muka Khalid yang masih menyandang jawatan tersebut. "Kamu jangan jatuhkan maruah MB (Khalid). Hormat beliau. Beliau masih MB Selangor. Kita boleh bincang apabila tempat itu kosong. Sekarang kita bincang tentang PRK Kajang sebab tempat itu kosong," katanya semasa sidang akhbar semalam. Menurut Mahfuz isu mengenai siapa calon Menteri Besar Selangor yang baharu hanya akan dibincangkan sekiranya kerusi yang menjadi rebutan itu kosong.
Status Khalid sebagai Menteri Besar Selangor mula dipertikai sejak bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh bertindak mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar. Keputusan itu diambil dipercayai bagi merintis jalan kepada Anwar untuk menggantikan Khalid.


Kesimpulannya Pas dan PKR saling berbalah bagi merebut jawatan. Malah perebutan itu juga secara tidak langsung membuktikan Pas sudah tidak lagi percaya dengan ketokohan Anwar sebagai pemimpin seperti yang sering diwar-warkan sebelum ini. Pada mereka, Anwar bukanlah seorang tokoh pemimpin yang hebat seperti yang disangka. Ini kerana sekiranya aura Anwar masih lagi kuat, masakan Pas selaku rakan sekutu di dalam PR menentang cadangan untuk melantik Anwar sebagai MB.Itu pun kalau PAS berani setelah dibuktikan berkali-kali bahawa mereka "samikna wa atokna" kepada Anwar.

Monday, February 3, 2014

KAJANG DAN PENJARA : ANUWAR PILIH KAJANG

 Saya Akan Jadi MB Selangor... Tak Percaya... Tunggu di KAJANG


Tindakan tidak masuk akal PKR untuk mengadakan Pilihanraya Kecil [PRK]di Kajang dikatakan sebagai satu strategi terbaik untuk parti.  Anwar Ibrahim dikatakan akan bertanding di situ dan seterusnya apabila menang, akan diangkat menjadi Menteri Besar.
Rata-rata orang ramai mengecam tindakan PKR sebagai sesuatu yang membazir wang rakyat dan tidak bertanggungjawab.  Seperti yang diketahui, sesebuah PRK memakan kos jutaan ringgit.  Memandangkan Kajang merupakan kawasan berpenduduk padat maka kosnya tentulah jauh lebih tinggi lagi.  Berdasarkan hakikat ini, mana-mana ADUN tidak seharusnya meletakkan jawatan sesuka hati tanpa sebab musabab yang konkrit.

Apa yang berlaku, membuktikan bahawa PKR langsung tidak mempedulikan rakyat atau wang negara yang dibazirkan, dan sebaliknya bertindak semata-mata atas kepentingan pemimpin dan politik parti.

Kenyataan Azmin Ali bahawa keputusan ini merupakan tindakan taktikal mengesahkan persepsi rakyat bahawa pemimpin PKR hanya mementingkan politik dan diri sendiri.   Azmin, kemudiannya cuba menolak spekulasi bahawa Anwar akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor tetapi di masa yang sama menyatakan bahawa Selangor memerlukan pemimpin ‘nasional’ seperti Anwar untuk kukuhkan kedudukan Pembangkang. Bagaimanapun, Azmin tidak pula menjelaskan bagaimana kedudukan Anwar sebagai ADUN dan bukan MB, boleh membantu mengukuhkan Pembangkang.

Penjelasan Rafizi pula lebih menarik lagi iaitu kononnya Anwar bertanding di Kajang adalah untuk menghalang Barisan Nasional yang bakal menjadi lebih kuat akibat ‘kejatuhan Datuk  Sri Najib’ nanti. Menurut Rafizi, Datuk Sri Najib akan dijatuhkan oleh satu gerakan yang didalangi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.  Setelah kejatuhan itu, isu perkauman dan agama akan ‘meletup’ dan PKR dan Pembangkang perlu bersedia untuk menghadapinya.  Untuk itu, Anwar diperlukan di DUN Kajang serta tidak menolak kemungkinan yang Anwar juga akan menerajui Selangor.

Jika teori Azmin mengenai keperluan PRK Kajang mengundang gelak ketawa rakyat, teori Rafizi pula mengundang rasa loya di tekak orang yang mendengarnya. Kenyataan Rafizi hanya memperlihatkan kepada rakyat akan usaha PR untuk melagakan Mahathir dengan Najib.  Kenyataan Azmin pula memperlihatkan yang beliau sendiri berada dalam keadaan ‘bingung’ dengan apa yang berlaku dalam partinya akhir-akhir ini. Kedua-dua mereka bagaimanapun, cuba sedaya upaya untuk merasionalkan keputusan parti walaupun tahu yang ianya tidak masuk akal sama sekali.

Namun, rakyat bukan sebodoh yang disangka mereka.
Semua orang tahu bahawa keputusan Anwar untuk melakukan kejutan ini adalah sebagai persediaan untuk menghadapi keputusan rayuan kes liwatnya di mahkamah.  Ini berikutan kegagalan rayuan ke 2 Anwar pada 20 Disember lalu, untuk menggugurkan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes tersebut. 

Rayuan tersebut sepatutnya diperdengarkan pada 28 Januari lepas, tetapi telah ditangguhkan sehingga 11 Februari atas sebab ketidakhadiran peguam Anwar, Tommy Thomas.  Maka, kerana itulah kejutan mengenai Kajang timbul dalam rangka masa yang sama.

PRK Kajang merupakan strategi yang baik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari kes liwatnya.  Malangnya, ianya hanyalah bersifat sementara sahaja.  Oleh itu, harapan Anwar, sekiranya beliau menang dan menjadi Menteri Besar maka sebarang keputusan mahkamah yang tidak memihak padanya pasti akan mencetuskan isu besar.  Malah, beliau juga akan berpeluang untuk mencipta isu lain di celah-celah kegilaan itu seperti ‘menjolok’ istana Selangor pula.
Pendek kata, Anwar kini hanya mengharapkan strategi menimbulkan kekecohan apabila keputusan kes liwatnya semakin hampir dan Selangor merupakan platform yang paling sesuai untuk itu selain memberinya capaian kepada dana yang besar.
Anwar kini berada dalam ‘mode’ panik.  Anwar yang kita tahu, akan sanggup berbuat apa saja apabila beliau panik.  Beliau pernah lari ke Kedutaan Turki kerana panik tetapi Anwar tidak boleh lagi lari ke tempat yang sama tanpa mengambil risiko diketawakan oleh pihak Turki.
Apa yang pasti disini ialah, Anwar enggan masuk penjara lagi...

Justeru itu ada baiknya jika kita bersiap sedia dengan segala kemungkinan yang akan dilakukan oleh Anwar untuk memastikan dirinya TAK akan kembali masuk penjara!!

Thursday, January 30, 2014

Kisah Si Azmin Dan Bosnya..


AZMIN Ali adalah ahli politik PKR. Itu semua orang tahu. ‘Putus Sudah Kasih Sayang’ adalah sebuah filem arahan dan lakonan Tan Sri P Ramlee. Itu pun semua orang tahu.Tapi kisah hubungan Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim jauh lebih hebat dan kontroversi dari mana-mana cerita dalam filem Melayu, baik yang diarah dan dilakonkan oleh P Ramlee atau yang lain-lain. 

Jalan cerita Azmin dan Anwar jika sekadar ditulis sekalipun lebih mencengkam dan menyayat jiwa.  Mana tidaknya apabila kita menyelak satu persatu hubungan kedua-duanya sejak dua insan ini masih secara relatifnya, muda, maksudnya hubungan Anwar sejak bergelar YB menteri manakala Azmin pula, masa itu masih lagi setiausahanya, maka akan faham perkongsian hidup mereka berdua lebih akrab dari sekadar aur dengan tebing.

Waktu Dr Mahathir Mohamad bos Anwar, ada juga usaha merenggangkan hubungan Anwar apabila surat-surat dikirim mendedahkan sikap Azmin. Tapi Azmin terselamat kerana Dr Mahathir tidak termakan hasutan menyebabkan Azmin kekal dalam kerajaan sehinggalah bosnya hilang kerja.Namun seperti sering berlaku Anwar dilihat seperti sering berpaut di bahu Azmin. Lebih ketara apabila Anwar hilang kedudukan dan menjalani hukuman penjara, Azminlah segala-gala. Dengan sendiri Anwar meletakkan Azmin pada kedudukan yang sukar dijejaskan.

Siapa boleh lupa melihat Azmin muncul jurucakap Anwar apabila mantan Timbalan Perdana Menteri itu menjadi banduan di penjara Sungai Buloh. Azminlah menemui media dan penyokong Anwar terutama media yang tak simpati dengan perjuangan Anwar serta pada masa sama menggerakkan gerakan reformasi.Umum mungkin terpaut pada puteri reformasi iaitu Nurul tapi di belakang Nurul, Azminlah tokoh reformasi sebenar-benarnya.Sepanjang Anwar berada dalam tahanan, Azminlah antara pengunjung setia. Kepada Azmin jugalah diluahkan pelbagai perkara termasuk kisah hidupnya serta ranjau yang maha berliku.Azmin mengorbankan hampir segala-gala semata-mata kerana Anwar.

Cerita bagaimanapun Azmin tidak mempunyai hubungan baik dengan adik-beradik termasuk ibunya menjadi berita panas di internet. Dan pengkritik Anwar memilih Azmin sebagai punching bag pula. Semua ini menggambarkan betapa akrabnya dua insan ini.

Sehingga timbul cerita selain isteri Anwar, Azmin serba tahu serta menyimpan banyak rahsia Anwar. Jatuhnya Azmin maka kita akan melihat PKR dan Anwar bakal menjadi sebahagian sejarah tragik dalam politik Malaysia. Hubungan Anwar dan Azmin mulai menampakkan keretakan apabila Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB Selangor bagi penggal kedua. Bagi kebanyakan daripada kita sudah pun tahu Azmin dan Khalid bukanlah regu yang baik. Justeru kita lihat sudahlah waktu menang pertama kali pada 2008, Azmin terpinggir dari sirna politik Selangor.

Siapa lagi kalau bukan Anwar yang tentukan sama ada Azmin ataupun Khalid jadi MB. Penyokong Azmin terpaksa menerima hakikat Azmin turut dipinggirkan daripada jawatan Exco. Jawatan Pengerusi PKR negeri seperti tidak membawa sebarang makna. Dan yang agak sedih apabila Khalid malu-malu alah sekadar melantiknya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS, itu pun kemudian ditamatkan. Khalid mentadbir Selangor mengikut akalnya tanpa memikir kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor adalah sokongan rakyat pada PKR.

Azmin mungkin liabiliti kepada Khalid tetapi bukan kepada rakyat Selangor. Kemenangan Azmin di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa sekali gus melonjak imej Azmin. Tapi ini juga tidak penting buat musuh-musuhnya. Anwar pada mula dilihat tidak tampil menyokong Azmin dalam kes PKNS cuma kemudian meminta Khalid pertimbangkan semula.

Selain itu apabila ura-ura Khalid bakal meletakkan jawatan MB, bukan Azmin yang disyor sebagai pengganti. Sehingga kini Selangor bakal mendapat MB baharu semakin panas apabila Adun Kajang, Lee Chin Cheh dengan tidak semena-mena, memperlekehkan demokrasi, mengosongkan kerusi itu. Apa yang memeranjatkan ialah Anwar diumum calon PKR di Kajang serta dilihat bakal calon MB.

Mungkin Anwar akhirnya akur mimpinya untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan termakbul. Usia kian lanjut dan masa semakin suntuk.  Justeru jadi MB pun jadi MBlah. Tetapi mungkin juga ada agenda lain di sebalik tindakan ini.


Oleh itu, umum kian faham betapa Anwar sanggup mengetepikan Azmin demi kepentingannya sendiri. Apakah sudah putus kasih sayang mereka berdua? Atau ia hanya wujud semata-mata sebagai kasih sayang politik?

Wednesday, December 4, 2013

PKR Semakin Bergolak : Sandiwara AZMIN dan KHALID semakin jelas.

SHAH ALAM 3 Dis. - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berkemungkinan tidak akan mendapat laluan mudah sekiranya beliau mahu mempertahankan jawatan tersebut berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut dikatakan akan bertanding merebut jawatan nombor dua itu dalam pemilihan parti pada Mei tahun depan.

Menteri Besar Selangor tidak menafikan desas-desus perkara itu dan menyatakan pihaknya akan membuat pengumuman sama ada akan mencabar Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden parti atau tidak apabila perkara itu perlu dilakukan."Buat masa ini perkara itu tidak pernah dibincangkan lagi dan sebarang pencalonan jawatan pada pemilihan itu adalah urusan dalaman parti dan tidak perlu dibincangkan secara terbuka."Kita akan buat pengumuman apabila perkara itu (pencalonan beliau sebagai Timbalan Presiden PKR) perlu diumumkan," katanya dengan ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Forum ASEAN Economic Community (AEC) 2015 di sini hari ini.

Abdul Khalid mengulas khabar angin bahawa beliau akan mencabar Azmin sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu tahun depan.Sebelum ini, hubungan antara Abdul Khalid dengan Azmin dilaporkan 'tidak begitu mesra' apabila Timbalan Presiden PKR itu sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri melibatkan beberapa isu tertentu.Terbaharu, Azmin yang merupakan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Negeri Selangor dilaporkan bertindak melalui badan itu mengemukakan memorandum kepada Abdul Khalid ekoran tidak berpuas hati dengan pengurangan peruntukan pembangunan oleh kerajaan negeri pada 7 Oktober lalu.

Malah, pada 28 November lalu, beliau turut menyelar keputusan kerajaan negeri menaikkan gaji dan elaun anggota pentadbiran Selangor di antara 80 hingga 373 peratus berkuat kuasa Januari tahun depan, selain menganggapnya itu terlalu tinggi dan perlu ditangguhkan.
Bagaimanapun, difahamkan pergeseran antara Azmin dan Abdul Khalid telah bermula sejak 2010 lagi apabila Timbalan Presiden PKR itu mengambil alih jawatan Pengerusi PKR Selangor daripada Abdul Khalid.Dalam pada itu, Abdul Khalid menafikan kritikan Azmin terhadap pentadbirannya termasuk isu kenaikan gaji dan elaun anggota pentadbiran kerajaan negeri baru-baru ini yang mempunyai kaitan dengan pemilihan PKR akan datang."Tidak ada perkara itu," kata beliau.

Kerajaan Barisan Nasional Sentiasa Prihatin Dengan Rakyat


PUSA: Kerajaan sememangnya menyambut baik program-program yang dijalankan oleh mana-mana jabatan dalam mendekati rakyat tanpa mengira kaum, lokasi dan tahap ekonomi masyarakat.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, untuk mencapai sasaran itu semua masyarakat sama ada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan, badan siasah, pertubuhan kebajikan dan organisasi yang terlibat secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan hendaklah menyahut cabaran memperkasa perpaduan masyarakat.

“Kesedaran semua pihak adalah dituntut merealisasikan hasrat ini agar nikmat kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak terkubur begitu sahaja,” katanya pada Pertandingan Futsal anjuran Belia Pusa dan Parlimen Batang Lupar di sini kelmarin.Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, kita patut bersyukur kerana rakyat negeri ini dapat hidup dalam suasana harmoni dan sentiasa bekerjasama.

“Kita menjadi contoh kepada keharmonian semangat perpaduan dari dahuulu sehingga sekarang. Kita harus menjaga semangat perpaduan untuk menjadi negara aman dan sentosa.“Saya berharap bekerjasama, toleransi, keharmonian dan perpaduan yang dimiliki tidak akan lumpuh oleh arus cabaran. Sebaliknya, cabaran yang mendatang dijadikan azimat untuk kita berusaha lebih tekun agar suasana yang aman dan damai sentiasa terjamin dan terpelihara,” tegasnya. Katanya, kita patut berbangga pertumbuhan ekonomi yang baik dapat dicapai dalam suasana yang aman dan stabil.“Justeru, rakyat harus memberikan sokongan padu kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar kemakmuran dan pembangunan dapat terus dinikmati,” katanya.


Read more: http://www.theborneopost.com

Pemindahan di MURUN Berjaya

KUCHING: Pemindahan dua kampung terakhir yang terjejas akibat Projek Hidro Elektrik (HEP) Murum iaitu Long Luar dan Long Singu ke Tapak Penempatan Semula Metalun telah dilaksanakan dengan jayanya.
Menurut kenyataan akhbar dari Sarawak Energy Berhad (SEB), secara rasmi kawasan itu menempatkan 353 isi rumah sejak pemindahan dimulakan pada September 2013.

Fasa terakhir penempatan semula sejak 30 November menyaksikan dua kampung pertama dipindahkan iaitu Kampung Long Tangau (31 isi rumah) dan Long Menapa (42 isi rumah) ke Tapak Penempatan Semula Metalun.Sementara bagi Long Luar seramai 52 isi rumah dan Long Singu (67 isi rumah) yang terdiri daripada 119 buah keluarga dipindahkan masing-masing pada jam 4 petang dan 6.30 petang, 2 Disember.

Antara faedah ekonomi dan bantuan yang diberikan kepada setiap keluarga ialah tanah seluas 15 hektar termasuk seunit kediaman bagi rumah panjang berkeluasan 1,300 kaki persegi, air bersih, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil, akses pendidikan serta perkhidmatan pendidikan, dewan masyarakat dengan gereja selain tadika dan bantuan sokongan pendapatan sementara bernilai RM850 sebulan.
Ketua rumah panjang, Madai Salu dari Long Luar dan Paren Usak (Long Singu) adalah antara yang pertama menerima kunci rumah bagi kediaman baharu mereka.

Bercakap di penempatan baharu di Metalun, Lai Lait dari Long Luar berkata: “Kami diberi sebuah rumah baharu dan diperuntukkan elaun apabila berpindah masuk. Pada penghujung tahun ini, kami akan mempunyai klinik dan sekolah, kami berharap perkembangan ini akan membawa kejayaan dalam kehidupan.”
Lagu Karang, dari Long Singu, ibu kepada dua anak pula berkata: “Sebab kami berpindah adalah kerana kita telah dijanjikan sebuah sekolah dan klinik dan itulah yang saya harapkan.“Dari dahulu sehingga generasi ibu bapa saya, kami tidak menerima apa-apa pendidikan. Saya mahu anak-anak saya menerima pendidikan yang mencukupi.”
Mengulas mengenai pelaksanaan penempatan semula itu, Pegawai Daerah Belaga Abdul Halim Abdullah berkata: “Pelaksanaan penempatan semula terakhir pada 2 Disember melibatkan bilangan keluarga terbesar dipindahkan.“Pelaksanaan penempatan semula berjalan lancar kerana sokongan diberikan kerajaan negeri, Kementerian Pertanian, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Jabatan Tanah dan Survei, polis, Jabatan Pendidikan, Pejabat Daerah, Majlis Daerah,  Jabatan Penerangan dan sudah tentunya SEB.“Kami menghargai usaha mereka dalam pelaksanaan penempatan dan memastikan masyarakat dijaga dengan baik.”

Sementara itu, Pengurus Kanan  II (CSR) SEB Jiwari Abdullah berkata: “Sepanjang hampir tiga bulan, kita telah berdepan pelbagai cabaran seperti sekatan Murum dan usaha tidak henti-henti daripada penentang pembangunan untuk menggagalkan pelaksanaan penempatan semula ini.“Amat melegakan apabila mengetahui bahawa semua cabaran akhirnya diselesaikan melalui dialog terbuka dan penempatan semula terakhir semalam (2 Disember), bukti kepada komitmen kami dalam menyokong masyarakat ke arah pembangunan lebih baik esok.Masyarakat adalah golongan penting dalam membawa pembangunan dan ia adalah tanggungjawab kami bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.
“Matlamat kami adalah untuk memberi bantuan berterusan dan memastikan masyarakat boleh menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu mereka.
“Inisiatif seperti Program ‘Home Green’ dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan SEB serta Program Literasi Penan Murum dan beberapa pembangunan masyarakat akan terus dilaksanakan.
“Semua ini bertujuan membantu merealisasikan aspirasi rakyat peribumi untuk akses sama rata bagi pembangunan,” tambah Jiwari.


Sumber : http://www.theborneopost.com