Friday, May 28, 2010

‘Kekal atau kurang’

KUALA LUMPUR 27 Mei – Keputusan sama ada mengekal atau mengurangkan subsidi akan ditentukan selepas kerajaan mendapat maklum balas daripada rakyat dan pelbagai pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan amat konsisten untuk bersifat telus dan sentiasa mahu berkongsi dengan rakyat kerana pada akhirnya, segala keputusan akan ditanggung oleh rakyat dan kerajaan sendiri.

“Terserahlah kepada rakyat untuk memikirkan tentang perkara ini. Apakah kita hendak kebaikan pada jangka panjang atau pun kita nak pertahankan status quo yang ada hari ini tetapi mendedahkan negara kepada risiko-risiko tertentu.

“Kerajaan akan membuat ketetapan selepas itu. Kita mahu rakyat tahu segala implikasinya, kalau kita tidak buat ini (kurangkan subsidi) dan buat ini (kekalkan subsidi) apa implikasinya.

“Kita amat telus dalam setiap apa yang ingin dilakukan sebab ini isu besar. Jadi kita hendak kongsi perkara ini bersama-sama dengan rakyat supaya mereka faham bahawa keputusan ini kita kena buat bersama-sama,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Najib mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala bahawa Malaysia mungkin menjadi sebuah negara bankrap dalam tempoh sembilan tahun lagi jika dasar pemberian subsidi kini tidak dimansuhkan.

Menurut Idris, hutang negara dijangka meningkat 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2019, jika pemberian subsidi diteruskan.

Sehubungan itu, kata Idris, Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara agar lebih berdaya saing.

Jelas Najib, kenyataan Idris itu merupakan satu unjuran daripada kajian makmal tersebut tetapi ia tidak semestinya akan dilaksanakan melainkan setelah terlebih dahulu mendapat maklum balas rakyat.

“Proses ini kita sedang buat, iaitu dapatkan maklumat dan pandangan daripada orang ramai.

“Maklumat timbal balas daripada rakyat dan juga pendapat umum daripada golongan yang mewakili pihak tertentu.

“Penjelasan diberikan akan membolehkan kerajaan membuat rumusan terbaik yang boleh menentukan kesejahteraan rakyat dan masa hadapan negara kita,” katanya.

Add to Google

Monday, May 24, 2010

Henti salahkan orang lain - Soo Nee

ALOR SETAR 23 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee meminta pemimpin pakatan pembangkang berhenti menuding jari menyalahkan pihak lain dalam isu lompat parti yang berlaku dalam parti pembangkang.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, tentu ada alasan munasabah yang menjadi punca perbuatan tersebut berlaku tetapi ia tidak pernah diakui oleh pemimpin tertinggi pakatan pembangkang.

Malah katanya, dalam isu terbaru berhubung spekulasi beberapa ADUN pakatan pembangkang akan meninggalkan parti bagi menjatuhkan kerajaan negeri juga sebenarnya dilakukan 'orang dalam' pakatan pembangkang sendiri.

"Tidak mengapa jika hanya seorang yang keluar tetapi kita bercakap mengenai ramai yang keluar parti selepas pilihan raya 2008. Tentu ada alasan yang munasabah.

"Sehingga hari ini, tidak ada bedah siasat dilakukan sama ada dari parti atau kerajaan negeri mengenai punca masalah ini berlaku.

"Mengapa tidak duduk berbincang untuk menyelesaikan masalah. Jangan hanya duduk saja dan menyalahkan sana sini. Kalau masalah ini berlaku kerana kesalahan sendiri, kita mesti lakukan perubahan," katanya ketika berucap pada majlis penerangan isu keluar parti di Kompleks Pas Kota Sarang Semut, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan 20 ADUN pakatan pembangkang.

Majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu berikutan desas-desus yang bertiup kencang mengenai empat ADUN pakatan pembangkang negeri ini yang dikatakan akan keluar parti sekali gus menumbangkan kerajaan negeri.

Selain Soo Nee, tiga lagi ADUN yang dikaitkan dengan isu itu ialah Tan Show Kang (PKR-Sidam), S. Manikumar (PKR- Bukit Selambau) dan Lee Guan Aik (DAP- Kota Darul Aman).

Keempat-empat mereka hadir pada majlis tersebut dan menafikan dakwaan itu.

Soo Nee mengakui ada perkara yang beliau tidak berpuas hati dengan kerajaan negeri dan memilih untuk bercakap mengenainya secara terbuka daripada menyimpannya di dalam hati.

"Mungkin ADUN lain tidak berani bercakap mengenai ini tetapi kadangkala kita rasa macam tidak dihargai," katanya.

Pada masa itu, kira-kira 2,000 orang yang hadir seakan terdiam mendengar ucapan ADUN Kulim itu.

Soo Nee turut menceritakan bagaimana dia dikejutkan dengan panggilan telefon oleh seorang yang mendakwa wartawan pada jam 1 pagi hanya untuk mengesahkan sama ada dia telah meninggalkan PKR.

"Ini gila, saya telah berkali-kali menjelaskannya tetapi wartawan itu terus bertanya," katanya.

Berikutan itu, keempat-empat ADUN itu meminta media agar bukan saja tidak lagi menanyakan perkara itu kepada mereka malah dia menegaskan tidak akan menjawab sebarang panggilan mengenainya.

"Jika ada media yang telefon dan tanya sama ada saya akan lompat, saya akan letak telefon," kata Show Kang yang menjadi orang pertama berucap pada majlis tersebut.

Pendapat Soo Nee turut disokong oleh Manikumar yang mengakui kadangkala terdapat perselisihan pendapat antara beliau dan kerajaan negeri.

"Bila saya ditanya sama ada saya akan lompat, saya kata jika ia berlaku, perkara berkenaan perlu dianalisis dengan teliti, ia mungkin masalah ADUN itu sendiri, masalah dengan pemimpin atau kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Guan Aik membidas media yang disifatkan sengaja mengembar-gemburkan isu lompat parti untuk dijadikan bahan berita

Thursday, May 20, 2010

BN pantau kemampuan DAP bela nasib penduduk Sibu

KUCHING 19 Mei - Barisan Nasional (BN) akan memantau sejauh mana kemampuan DAP dalam membela nasib penduduk di Parlimen Sibu setelah parti itu memenangi pilihan raya kecil kerusi tersebut Ahad lalu.

Datuk Seri Adenan Satem (BN-Tanjung Datu) berkata, DAP yang banyak menabur janji sepanjang kempen pilihan raya itu mempunyai tempoh kira-kira dua tahun sebelum pilihan raya umum akan datang untuk membuktikan kemampuan mereka.

''BN negeri akan memantau secara dekat apa yang boleh dilakukan DAP untuk kemajuan dan pembangunan Sibu secara keseluruhannya.

''Hanya dengan menang di Sibu, pembangkang 'berlagak' dan bercakap besar dengan rakyat tetapi perlu diingatkan, DAP harus menterjemahkan undi kepada bentuk pembangunan yang rakyat inginkan," katanya yang juga Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul terima kasih ucapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-16 di sini hari ini.

Adenan berkata, BN Sarawak tidak panik dengan kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil itu memandangkan ia tidak memberi kesan kepada kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun negeri.

Katanya, hanya dengan menang di Sibu, BN masih lagi menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) dan DAP masih kekal sebagai pembangkang.

Tambahnya, BN Sarawak juga tidak mudah panik dengan rangkaian pakatan pembangkang yang kononnya ingin menumbangkan kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri.

''Pada suatu ketika, pakatan pembangkang begitu yakin dengan undi yang diberikan rakyat kepada mereka sehingga menguasai lima negeri, sebelum Perak terlepas semula kepada BN.

''Hanya disebabkan itu mereka telah memasang angan-angan untuk mengambil alih kepemimpinan BN di peringkat Persekutuan dan negeri malah begitu yakin untuk 'mengambil alih' kerajaan BN pada tarikh 16 September 2008, tetapi ia berlalu begitu saja hingga menjadi bahan ketawa," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Adenan menyuarakan rasa kesalnya terhadap sikap pembangkang yang bersikap biadab ketika persidangan DUN.

Katanya, mereka selalunya tidak menghormati peraturan mesyuarat dan dewan yang mulia dengan menimbulkan kekecohan hingga memaksa sesi DUN ditangguhkan.

'Tiada yang boleh ubah fikiran saya' DS Samy Vellu

KUALA LUMPUR 19 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, beliau berpegang dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan dalam tempoh "lapan atau sembilan bulan" sebelum penggalnya tamat Mei 2012.

"Tak ada apa-apa yang boleh mengubah fikiran saya. Saya akan berpegang dengan keputusan saya," katanya ketika ditanya mengenai gesaan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan agar beliau berundur dengan segera.

Sebaliknya sebagai balasan, Samy Vellu berkata, Mugilan akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin MIC kerana melanggar kepentingan parti pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu.

"Sebenarnya beliau bertindak melulu dan mendahului keputusan parti untuk mengambil tindakan ke atasnya kerana melanggar kepentingan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Hulu Selangor.

"Mugilan merupakan salah seorang yang telah menentang BN dalam pilihan raya kecil selepas gagal dalam usaha untuk dipilih sebagai calon," kata Samy Vellu.

Beliau berkata, sebenarnya parti itu mahu mengambil tindakan ke atas Mugilan selepas Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor tetapi menangguhkan keputusan itu.

Samy Vellu berkata, Mugilan bertindak sebagai bahan jenaka untuk "sesetengah orang", dan menghalang Palanivel daripada bertanding semula bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil itu.

Pencalonan Mugilan bagi pilihan raya kecil itu dilaporkan disenangi pemimpin BN tetapi pencalonannya dibantah oleh MIC, yang membawa kepada BN memilih Ketua Penerangan MIC, P. Kamalanathan yang akhirnya memenangi kerusi itu.

Samy Vellu berkata, keputusannnya untuk mengosongkan jawatan presiden lebih awal daripada Mei 2012 dibuat "atas kerelaan sendiri dan saya tidak didesak oleh oleh sesiapa atau mana-mana kumpulan".

"Saya akan terus memastikan MIC bebas daripada orang yang ingin memusnahkannya. Kami tidak mahu mereka yang hanya semata-mata diperalatkan orang tertentu," katanya merujuk kepada Mugilan.

Samy Vellu berkata, masyarakat India mengetahui apa yang telah disumbangkannya untuk mereka dan menyerahkannya kepada mereka untuk menjadi hakim.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan Samy Vellu tidak perlu dipersoalkan dan mesti dihormati semua pihak.

"Presiden MIC itu telahpun membuat satu keputusan dan beliau telah memaklumkannya kepada kepimpinan BN. Semua orang perlu menghormati keputusannya untuk membenarkan beliau meneruskan rancangan itu," katanya dalam satu kenyataan.

Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata, dengan mempersoal keputusan Samy Vellu hanya akan menjejaskan kestabilan MIC dan mengganggu tumpuan ke atas isu yang lebih mendesak bagi masyarakat India.

Beliau berkata, Mugilan tidak sepatutnya meminta Samy Vellu untuk berundur dengan segera. - Bernama

Sunday, May 16, 2010

Premium baru tanah di S’wak


SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud malam tadi mengumumkan kadar premium baru pajakan tanah.

Taib umum kadar pajakan baru 60 tahun dengan ansuran dibayar lima tahun

Menurut beliau, di bawah kategori kediaman, kadar untuk rumah teres ialah RM1,000 seunit, rumah berkembar RM3,000 seunit, rumah sesebuah (detached) RM6,000 seunit.

Manakala bagi kategori komersial di bandar utama ialah RM40,000 seunit, bandar sekunder RM20,000 seunit, luar bandar RM10,000 seunit.

Untuk pajakan tanah kategori pertanian di kawasan bandar, kadar ditetapkan ialah RM5,000 seekar, di pinggir bandar ialah RM2,500 seekar dan tanah desa ialah RM200 seekar.

Pengumuman itu dilakukan oleh beliau pada majlis sambutan perpaduan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Sibu di sini, malam tadi.

Menurut Taib, tempoh pajakan ialah 60 tahun dan bayarannya boleh dilakukan secara ansuran lima tahun.

“DAP mengkritik dan meminta kerajaan tidak mengenakan bayaran pajakan atau automatik. Jangan minta kita buat perkara yang mereka tidak lakukan (di Pulau Pinang),” katanya.

Taib berkata, bayaran premium baru itu adalah berdasarkan kadar sama rata berbanding sebelum ini yang dikira menggunakan formula peratusan.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam risalah Barisan Nasional (BN) sempena pilihan raya kecil Parlimen Sibu meminta rakyat percaya kepimpinannya adalah untuk semua kaum dan semua warga Malaysia

Katanya BN, akan memimpin Malaysia ke era baru.

Beliau meminta rakyat terutama pengundi di Sibu supaya memilih BN untuk memastikan masa depan yang cerah.

Mandat yang akan diberikan oleh para pengundi akan membangkitkan moral kerajaan dalam membangunkan negara.

“Ini akan memberi galakan lebih untuk kita mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru para pengundi di dalam kawasan Parlimen Sibu agar memilih Robert Lau Hui Yew sebagai wakil rakyat mereka.

Saturday, May 15, 2010

PM: Transformasi besar akan berlaku

PUTRAJAYA 14 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak percaya transformasi besar akan berlaku di negara ini jika momentum ekonomi dan program transformasi kerajaan dapat dipupuk dan diperkukuhkan.

Perdana Menteri menegaskan, sebab itu tempoh 10 tahun akan datang ini memerlukan semua pihak terutama para penjawat awam menunjukkan kecergasan dan kehebatan luar biasa dalam menggalas cabaran mencapai matlamat negara maju 2020.

Beliau menarik perhatian bahawa Malaysia ketika ini belum mencapai peringkat kemantapan tetapi dalam perjalanan untuk merapati fasa akhir negara maju.

''Kita sudah dekat dengan garis penamat, kita kena pecut dan bukannya sudah habis angin... tercungap-cungap.

''Saya tidak mahu sesiapapun memperlekehkan Malaysia dan sedikit sebanyak apabila saya jumpa Presiden (Barack) Obama (baru-baru ini), saya tidak fikir dia bagi pertemuan dua hala dengan saya kalau dia tidak lihat Malaysia ini negara yang stabil dan berjaya.

''Dalam hal ini, kita perlu menjadi kerajaan yang berkesan supaya dapat mengisi jangkaan dan harapan rakyat yang semestinya semakin kritikal. Oleh itu tanda aras kita mesti global, kelas dunia dan bukan sekadar slogan," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Awam 2010 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman dan beberapa menteri Kabinet.

Dalam aspek ini, Perdana Menteri turut menjelaskan maksud kerajaan berkesan yang ingin dilihat oleh beliau berlaku iaitu berkesan pada peringkat makro (keseluruhan) dan berkesan dari segi memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

''Ini kerana dari sudut makro penting kerana kalau (kerajaan) tidak diuruskan dengan baik dan tepat, maka sesebuah negara boleh terjerumus dalam lembah yang tidak menentu dengan pelbagai masalah dalaman seperti rusuhan.

''Perkara ini (rusuhan) tidak terbatas di negara membangun tetapi juga berlaku di negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang tidak sepatutnya terjadi seperti di Greece yang dibebani masalah hutang," katanya.

Kata beliau: ''Apabila kerajaan tidak diuruskan dengan baik, maka yang sengsara adalah rakyat dan pekerja.

''Sebab itu soal dalam menghasilkan kerajaan yang berkesan ini menjadi tanggungjawab bersama dan Alhamdulillah, berkat kerjasama bekerja sebagai satu pasukan, pertumbuhan ekonomi dalam suku pertama tahun ini melonjak kepada 10.1 peratus."

Menurut Perdana Menteri, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu bukan kerana dasar fiskal, kewangan dan usaha kerajaan semata-mata tetapi juga disebabkan bantuan serta komitmen para penjawat awam.

Thursday, May 13, 2010

Lebih ramai bakal keluar PKR

KUALA LUMPUR 12 Mei – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendedahkan beberapa Ahli Parlimen serta pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertindak meninggalkan parti itu dalam tempoh dua minggu ini.

Menurutnya, kesemua yang berhasrat keluar daripada PKR itu ialah kalangan mereka yang menjadi antara pengasas kepada penubuhan parti serta semangat reformasi satu ketika dahulu.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan nama-nama besar yang menyatakan pendirian untuk berbuat demikian.

Zulkifli berkata, PKR kini umpama parti yang sedang ‘menggali kuburnya sendiri’ berikutan ramai ahlinya sudah mula hilang rasa percaya serta yakin terhadap parti dan kepimpinan atasannya.

‘‘Tunggulah dalam masa dua minggu ini. Kebanyakan yang akan keluar parti ialah mereka yang mempunyai kualiti tersendiri.

‘‘Mereka ini antara penggerak awal kepada semangat reformasi baik peringkat atasan mahupun akar umbi.

‘‘Dua punca mengapa mereka mahu meninggalkan PKR.

“Pertama, kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan serta parti dan keduanya, PKR sudah hilang hala tuju perjuangan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli dalam laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini mendakwa sekurang-kurangnya dua Ahli Parlimen serta dua Ahli Dewan Undangan Negeri akan bertindak meninggalkan PKR tidak lama lagi.

Jelas beliau, beberapa pemimpin di peringkat bahagian parti di Perak, Kedah dan Selangor juga turut menyatakan hasrat sama sehingga membuatkan bahagian berkenaan dibubarkan.

Zulkifli turut mendakwa bahawa kalangan mereka ada menghubunginya untuk mendapatkan nasihat berhubung hasrat berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di peringkat awal penubuhan PKR, terdapat beberapa pemimpin bertindak meninggalkan parti kerana sudah nampak hilangnya fokus serta hala tuju parti tersebut.

Tetapi, katanya, selepas Pilihan Raya Umum 2008, peringkat akar umbi pula sudah mampu ‘menghidu’ kepincangan yang berlaku di dalam parti sehingga membuatkan mereka melakukan tindakan sama.

Mengenai kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat tindakan ahlinya keluar parti sebagai sesuatu yang biasa berlaku menjelang pilihan raya, Zulkifli menjelaskan bahawa ia adalah satu sindrom penafian Anwar yang tidak mahu mengakui hakikat.

‘‘Tindakan ini (keluar parti) bukannya bermusim atau semasa hendak pilihan raya sahaja.

‘‘Sebelum ini, ramai bekas pemimpin PKR bertindak keluar parti bukan dalam tempoh berlakunya pilihan raya,’’ katanya.

Katanya, Anwar dan beberapa pemimpin PKR turut melabelkan tindakan berkenaan sebagai proses pembersihan.

‘‘Saya bersetuju dengan kenyataan itu. Tetapi, ini adalah ‘kerja’ Allah yang mahu menyucikan mereka agar terus meninggalkan PKR,’’ tambahnya.

Kelmarin, di kawasan Parlimen Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu, seramai 1,700 ahli PKR turut bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap Anwar sekali gus menyebabkan beberapa cawangan PKR di dalam Parlimen itu dibubarkan.

Monday, May 10, 2010

Rakyat tunjang kekuatan BN - Simoi


Caption: SERTAI PBB...Tr Wilson Bada (kanan) menyerahkan borang permohonan keahlian PBB daripada 43 orang penduduk Gran B kepada Simoi (kiri) sambil disaksikan Bujang (tengah) dan Zaidil (dua kiri) pada majlis itu.

SRI AMAN, Selasa (4 Mei) – Kekuatan kerajaan yang didokong oleh Barisan Nasional (BN) bergantung sepenuhnya kepada peranan ketua kaum dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing terhadap rakyat selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata ketua kaum terutama sekali Tuai Rumah adalah amat penting dalam menerangkan segala dasar pembangunan kerajaan untuk rakyat di bawah pentadbiran masing-masing dari masa ke semasa.

“Selain ketua kaum, kekuatan kita juga bergantung sepenuhnya terhadap peranan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan dalam menerangkan dasar kerajaan dan Gagasan 1Malaysia terhadap rakyat.

“Kita mahu rakyat sedar bahawa BN melakukan yang terbaik untuk memajukan hidup mereka sepanjang masa ini dan bukannya oleh pihak pembangkang yang hanya tahu melemparkan fitnah dan dakyah palsu semata-mata,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin 2010 bertempat di Rumah Wilson Bada, Kampung Gran B, Stumbin, Sri Aman kelmarin.

Selain itu Simoi juga mahu ketua kaum, JKKK, NGO dan jabatan kerajaan untuk sama-sama berusaha bagi menerapkan kesemua nilai Gagasan 1Malaysia dalam diri semua rakyat selepas ini.

“Usaha ini penting demi menyatupadukan semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini khususnya di Sri Aman bagi membolehkan perlaksanaan projek pembangunan oleh BN dari masa ke semasa.

“Justeru saya berharap agar semua lapisan rakyat dapat menerima Gagasan 1Malaysia dengan hati yang terbuka agar matlamat kemajuan menjelang tahun 2020 dapat dicapai sepenuhnya oleh kerajaan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Bujang Haji Budin, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidil Haji Ripin, para pegawai kerajaan, wakil jabatan, ketua kaum, pengerusi persatuan dan ahl Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam daerah ini.

Tamat.

Jayakan Gagasan 1Malaysia - Rohani


Caption: JAYAKAN 1MALAYSIA...Rohani ketika membicarakan perkara mengenai Gagasan 1Malaysia di Rumah Panjang Batu Lapan, Pusa.

PUSA, Khamis (6 Mei) – Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim mahu Gagasan 1Malaysia diangkat dalam hidup setiap penduduk berbilang kaum dan agama dalam kawasan Batang Lupar mulai sekarang.

Ini kerana perlaksanaan Gagasan 1Malaysia menurut beliau dilihat mampu memacu pembangunan dalam negeri ini khususnya bagi kawasan Batang Lupar menjelang tahun 2020 nanti.

“Perlaksanaan Gagasan 1Malaysia sememangnya mengundang banyak cabaran memandangkan Malaysia khususnya Sarawak mempunyai ramai penduduk yang berbilang kaum dan agama.

“Ia sememangnya mengundang cabaran dalam melaksanakan projek pembangunan untuk mereka. Oleh itu Gagasan 1Malaysia dilihat sebagai satu langkah untuk menghimpunkan semua penduduk demi membolehkan projek pembangunan itu dilaksana dengan lancar,” menurut beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian ketika berucap merasmikan Program 1Malaysia Bersama Pemimpin di Rumah Panjang Batu Lapan, Pusa anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.201 Batang Lupar baru-baru ini.

Selain itu Rohani juga mahu semua penduduk untuk tidak memperlekehkan perlaksanaan Gagasan 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas ini.

“Semua penduduk di kawasan Batang Lupar sudah sedia maklum bahawa kerajaan telah merancang untuk memperhebatkan lagi projek pembangunan dalam kawasan kita khususnya dari segi perlaksanaan projek pertanian komersial seperti di Lingga.

“Saya yakin ia akan mengubah taraf hidup penduduk di kawasan Batang Lupar dari segi perolehan sumber ekonomi. Justeru saya memohon semua penduduk untuk menerima dan menjayakan perlaksanaan Gagasan 1Malaysia ini dengan hati yang terbuka mulai sekarang,” menurut beliau.

Beliau pada majlis terbabit telah mengumumkan peruntukan Prjojek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 untuk Rumah Panjang Batu Lapan berkenaan. Turut diumumkan ialah mengenai kelulusan projek pembinaan jalan raya ke Rumah Panjang Bungkong Belok yang telah diluluskan tahun ini.

Hadir sama ialah wakil Datuk Bolhasaan Di iaitu Haji Morshidi Jon, Pegawai Tadbir Sarawak, Dr James, SAO Crispin, ketua kaum, wakil jabatan kerajaan dan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tamat.

Saturday, May 8, 2010

Pertandingan tiga penjuru PRK Parlimen Sibu

08/05/2010 12:18pm

SIBU 8 Mei - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu P.212 yang akan diadakan pada 16 Mei ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, calon DAP, Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron.

Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sibu, Wong See Meng mengumumkan perkara itu sebaik sahaja tamat tempoh bantahan pada pukul 11 pagi.

"Terdapat satu bantahan diterima ketika tempoh bantahan tetapi tiada calon ditolak kertas penamaannya,'' katanya di Dewan Suarah Sibu, di sini hari ini. - Utusan


Wednesday, May 5, 2010

Pas nafi salur peruntukan RM4 juta

KUALA LUMPUR 4 Mei - Selepas seminggu penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendedahkan isu peruntukan RM4 juta, Pas secara rasmi hari ini menafikan penglibatan parti itu dengan dakwaan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang mengadakan sidang akhbar khas bagi menjawab isu itu berkata, pucuk pimpinan juga tidak tahu menahu mengenai kewujudan syarikat perunding media, Global Media Channel Sdn. Bhd (GMC).

"Pas tidak ada kena mengena dengan pendedahan oleh Syed Azidi kerana menjatuhkan individu serta memburukkan pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan agenda Pas. Jika ditanya sama ada orang Pas terlibat, itu saya tidak tahu.

"Mengenai kewujudan GMC, saya dan pucuk pimpinan juga tidak tahu. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak tahu dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pun tidak tahu,'' katanya di Pejabat Agung Pas di sini hari ini.

Semalam, Syed Azidi menyerahkan beberapa lagi dokumen tambahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya ekoran pendedahannya menerima peruntukan RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf memburuk-burukkan kepimpinan Abdullah.

Syed Azidi sebelum ini telah membuat satu dakwaan mengenai tindakan pihak-pihak tertentu memberikannya peruntukan lebih RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk memburukkan imej dan melemahkan kepimpinan Abdullah.

Beliau turut mendakwa kerajaan Pas Kelantan menyalurkan sumber kewangan itu untuk melaksanakan gerakan tersusun memburukkan kerajaan Pusat sekali gus memastikan Pas kekal berkuasa di negeri itu.

Menurut Syed Azidi, peruntukan tersebut diberikan bertujuan melaksanakan operasi gerak saraf melalui syarikat GMC yang beribu pejabat di Jalan Kota Darul Naim, Kelantan bermula Julai 2007.

Mustafa berkata, beliau hanya mengetahui mengenai GMC itu apabila perkara itu didedahkan oleh Syed Azidi di dalam blognya.

"Sebelum ini saya tidak tahu apa itu GMC. Sudah dedah baru tahu. Saya juga telah membuat pemeriksaan dengan Badan Perhubungan Pas Kelantan dan Pas Pusat mengenai dakwaan RM4 juta ini.

"Saya dapati Pas tidak pernah menyalurkan peruntukan RM4 juta kepada Syed Azidi untuk lakukan kerja-kerja seperti didakwa kerana seperti yang saya katakan tadi Pas tidak melakukan kerja-kerja menjatuhkan pemimpin,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, selama ini Pas menentang Barisan Nasional (BN) serta UMNO atas dasar parti dan bukan pemimpin.

"Tugas Pas adalah menjatuhkan BN dan UMNO tetapi melalui kaedah demokratik (pilihan raya) dan bukannya dengan cara menjatuhkan pemimpin tertentu,'' ujarnya.

Menjawab soalan, Mustafa berkata, Pas menyerahkan kes tersebut kepada SPRM sebelum pihaknya membuat ulasan lebih lanjut kerana segala-galanya bergantung pada hasil siasatan.

Berhubung kemungkinan penulis blog Kickdefella dikenakan tindakan saman, Mustafa berkata, beliau akan mencadangkan kepada Pas Kelantan supaya meneliti kenyataan Syed Azidi yang telah mengaitkan kerajaan negeri dengan penyaluran peruntukan tersebut.

Anwar khianati kawan

KUALA LUMPUR 4 Mei - Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan khidmat firma perhubungan awam pro-Israel APCO Worldwide dan kononnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan khidmat bekas ejen Israel dalam projek berkaitan pengurusan maklumat dan komunikasi, dikecam hebat oleh sebuah laman web berhaluan kanan Amerika.

Melalui tulisannya dalam 'The New Ledger', sebuah penerbitan Internet Amerika yang menyiarkan pendapat golongan yang menyokong sistem kapitalis dan konservatif, Rachel Motte berkata, Anwar telah membuang kawan lamanya di Washington dan menjadikan kontrak APCO Worldwide sebagai asas untuk mereka cipta teori konspirasi mengenai penguasaan Yahudi, rancangan Zionis dan kegiatan subversif di Malaysia.

Katanya, beberapa orang kanan Anwar juga telah melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk kononnya kerajaan Malaysia telah menggunakan khidmat sebuah syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis di Israel berkaitan projek maklumat dan komunikasi.

Dalam tulisan bertajuk "The Reversal of Anwar Ibrahim", Motte mendakwa Anwar, yang dianggapnya sebagai ahli politik berbisa dan berkarisma, menjadi punca munculnya semangat anti Yahudi di Malaysia.

Katanya, ini bukan kali pertama "beliau mengambil jalan ini" dan beliau "mempunyai sejarah menggigit Yahudi (sikap prejudis atau bermusuh dengan Yahudi) apabila keadaan memerlukan beliau berbuat demikian.

Sebagai contoh, kata penulis itu, menjelang pilihan raya umum pada 2008, dalam satu wawancara dengan IslamOnline, Anwar berkata, beliau mempunyai bukti bahawa kerajaan bukan saja memberi sokongan kepada puak pelobi Yahudi di Amerika tetapi juga kepada beberapa pihak di Israel.

Motte berkata, beliau berterima kasih kepada pengundi di Malaysia kerana tindakan mereka menyebabkan gabungan parti pembangkang yang diterajui Anwar tidak mendapat undi majoriti pada pilihan raya itu.

Katanya, sejurus selepas Anwar dibebaskan dari penjara kira-kira 10 tahun lepas, beliau datang ke Washington, D.C. dan menghabiskan masa sejak 10 tahun lepas bagi menampilkan imejnya sebagai seorang yang penuh bersopan santun dan berperibadi mulia di Barat.

"Hasilnya, pemerhati hal ehwal luar Amerika menganggapnya sebagai contoh pemimpin Islam yang demokratik dan pejuang pentadbiran yang liberal dari Asia Tenggara.

''Beberapa tahun lepas, beliau dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies dan di situ, beliau menjalin persahabatan dengan Yahudi Amerika seperti Paul Wolfowitz — sebagai suatu cara untuk menunjukkan betapa beliau telah jauh berubah daripada imejnya sebagai seorang militan Islam suatu ketika dulu.

"Malah, pada 2008, (bekas naib presiden) Al Gore — yang terkenal sebagai lelaki yang bijak dan tajam persepsinya — terdorong untuk menulis dalam laman blognya bagi mempertahankan maruah Anwar apabila beliau dikritik.

"Beliau adalah antara tokoh hebat dari Barat yang tidak boleh dibeli — tetapi seseorang itu boleh rapat dengan beliau sekiranya beliau bermusuh dengan pihak tertentu dan mempunyai hubungan dengan media yang berpengaruh dalam Beltway (perkataan yang digunakan bagi merujuk kepada sebahagian daripada sistem politik Amerika sebenar atau yang dibayangkan dan mengambil sempena nama lebuh raya antara negeri yang melingkari ibu negara Amerika)," kata penulis itu.

Motte berkata, hubungan antara Anwar dan tokoh-tokoh Yahudi Amerika yang berpengaruh begitu rapat hinggakan jika ditanya kepada rakyat Amerika siapakah tokoh demokrat liberal di Malaysia bagi tempoh 1999 hingga 2009, mereka dengan mudah akan menjawab tokoh itu ialah "Anwar Ibrahim." "Tapi, adakah apa yang digambarkan oleh Anwar Ibrahim tentang dirinya di luar Malaysia sama dengan tindakan yang dilakukannya di negaranya sendiri?," tanya penulis itu.

Motte berkata, apabila berada jauh dari CNN, Al Gore dan Johns Hopkins, Anwar menampilkan dirinya sebagai penghasut yang menyemarakkan semangat anti-Amerika dan anti-Yahudi.

Kata Motte lagi, "dalam mencari siapa yang boleh dijadikan rakan Amerika di dunia Islam, memang sukar untuk membezakan antara kawan yang baik dan kawan yang jahat."

"Bagaimanapun, lazimnya, ahli politik yang memperjuangkan teori konspirasi anti-Yahudi bukanlah rakan Amerika," katanya bagi merujuk kepada Anwar.

Motte berkata, perkembangan di Malaysia beberapa bulan lepas menyerlahkan perubahan yang mengejutkan apabila ketua Pembangkang Anwar Ibrahim meniupkan semangat anti-Yahudi, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula berdiri teguh bersama Presiden Barack Obama dan Amerika.

Penulis itu mengulangi kenyataannya bahawa memang sukar untuk meneka siapakah yang boleh dijadikan kawan oleh Amerika di dunia Islam, selain Raja dan Permaisuri Jordan, beberapa orang di Emiriyah Arab Bersatu dan keluarga diraja Saudi.

"Sebagai contoh, lihatlah sesuatu yang aneh di Malaysia. Negara itu dan parti yang memerintahnya sedia bekerjasama dan bersikap konstruktif terhadap Amerika, tetapi lain pula halnya dengan parti politik pembangkangnya. Keanehan inilah yang sering digambarkan oleh media Barat," katanya.

Motte berkata, kepimpinan Malaysia sekarang bersikap pro perniagaan, pro Amerika dan berani berterus terang kepada dunia Islam bahawa ia adalah sekutu strategik Amerika.

Malah, katanya, pada Sidang kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington baru-baru ini, Najib berikrar akan membantu Amerika dalam pelbagai bidang.

Katanya, nama baik Malaysia sebagai sebuah negara majoriti Islam yang stabil dan berpendirian sederhana begitu menyerlah pada dekad ini hasil usaha keras dan kepimpinan perdana menterinya sekarang dan perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi. - BERNAMA